Jejak: Raja Putih Sarawak

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

James Brooke jadi Gabenor selepas tamatkan penentangan penduduk

SELEPAS mendengar kisah sejarah lagenda Raja Putih Sarawak, pastinya terdetik di hati memang ada kebenaran pantun dua kerat yang dituturkan orang zaman dulu iaitu;


Kerana pulut, santan binasa,
Kerana mulut, badan binasa...

Mungkin maksud di sebalik simbolik pantun berkenaan boleh menjadi sinopsis kepada sejarah mengenai kewujudan Raja Putih Sarawak di Kepulauan Borneo, suatu ketika dulu.

Disebabkan kelancangan mulut menuturkan sebaris ayat, sebuah negeri besar yang dulunya dimiliki dan ditadbir pemerintah tempatan, tergadai kepada orang asing yang berbeza agama, rupa dan budaya.

Hanya kerana kesilapan menaburkan janji, sebuah negara merdeka tergadai ke tangan rakyat asing selama kira-kira 100 tahun malah mengubah seorang pedagang menjadi Raja memerintah Sarawak. Rakyat asing itu ialah James Brooke.

Sebelum kurun ke-19, Sarawak berada di bawah pengaruh Kesultanan Brunei. Pada mulanya Sultan Brunei membahagikan Sarawak kepada beberapa daerah dengan setiap daerah ditadbir ketua tempatan di kalangan orang Melayu dan Dayak.

Pembesar tempatan yang digelar Menteri Darat, Temenggong dan Orang Kaya bertanggungjawab melaksanakan arahan Sultan, memungut cukai dan mentadbir daerah yang mereka wakili tanpa campur tangan pihak istana.

Sehingga kurun ke-19, Sultan Brunei bertindak melantik seorang pembesar iaitu Pangeran Indera Mahkota sebagai wakilnya di Sarawak yang terkenal kaya dengan hasil bumi terutama emas dan antimoni.

Kehadiran Pangeran Indera Mahkota ternyata tidak disenangi pembesar tempatan lantaran sikap kejamnya terhadap penduduk. Pangeran Indera Mahkota mengenakan cukai tinggi kepada penduduk selepas mengambil alih kuasa pentadbiran serta perdagangan antimoni dan emas daripada pembesar tempatan.

Malah, orang Bidayuh yang bekerja di lombong antimoni kepunyaannya juga tidak diberi upah. Keadaan itu menjadi pencetus kepada kebangkitan penduduk untuk menentang Pangeran Indera Mahkota.

Tentangan hebat menyebabkan Pangeran Indera Mahkota gagal menyekat kebangkitan penduduk sehingga Sultan Brunei terpaksa menghantar seorang lagi pembesar, Pangeran Raja Muda Hashim untuk membantu.

Bagaimanapun, sehingga James Brooke tiba dengan kapalnya `The Royalist’ di Kuching pada Ogos 1838, tentangan masih belum berkesudahan. Beliau melihat kekacauan berlaku di kawasan itu - kaum Dayak memberontak menentang Kesultanan Brunei.

Buntu menghadapi situasi itu menyebabkan Raja Muda Hashim melakukan kesilapan besar. Di hadapan James Brooke, dia memohon pertolongan Inggeris untuk menamatkan penentangan penduduk.

“Jika kamu berjaya menamatkan penentangan ini, kamu akan dilantik sebagai Gabenor Sarawak,” mungkin begitulah kata-kata Raja Muda Hashim kepada lelaki Inggeris itu.

Tawaran Raja Muda Hashim seumpama ‘pucuk dicita, ulam mendatang’. Bagai ‘orang mengantuk disorongkan bantal’, James Brooke bersetuju menghulurkan bantuan kerana jika dilantik sebagai gabenor, pelbagai keuntungan diperoleh kerana bumi Sarawak memiliki kekayaan yang melimpah ruah.

Akhirnya, dengan bantuan ketenteraan daripada James Brooke, Raja Muda Hashim berjaya mengekang kebangkitan dan menamatkan tentangan penduduk.

Ketika itulah, Raja Muda Hashim tersedar akan kesilapan yang dilakukannya. Tawaran kepada James Brooke dibuat beliau tanpa merujuk kepada Sultan Brunei.

James Brooke mula menuntut janji untuk dilantik sebagai gabenor tapi Raja Muda Hashim berlengah kerana menyedari tawarannya itu pasti tidak dipersetujui Sultan.

Berang dengan tindakan Raja Muda Hashim yang seolah-olah ingin menipunya, James Brooke membedil bandar Kuching menyebabkan Raja Muda Hashim terpaksa melantik lelaki Inggeris itu menjadi Gabenor Sarawak pertama pada 1841.

Setahun kemudian, bersama angkatan tentera laut British dari Singapura, James Brooke menghadap Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin bagi mengesahkan pelantikannya.

Sultan Omar yang bimbang melihat kehadiran batalion tentera Inggeris di Brunei terpaksa mengiktiraf perjanjian dibuat James Brooke dengan Raja Muda Hashim pada 1841 sekali gus mengiktiraf lelaki asing itu sebagai Raja Putih Sarawak.

Kedatangan Jepun akhiri era Brooke

PADA 1846 iaitu selepas empat tahun terpaksa mengiktiraf James Brooke sebagai Raja Putih Sarawak, Sultan Omar Ali Saifuddin bersama pembesar yang menyokongnya cuba menentang lelaki Inggeris itu.

Bagaimanapun, James Brooke yang menyedari hasrat Sultan Omar, bertindak menyerang Sultan Brunei itu bersama angkatan tentera laut British menyebabkan beliau tewas. Baginda juga terpaksa menandatangani satu lagi perjanjian yang mengiktiraf James Brooke sebagai Raja Sarawak yang merdeka dan memiliki kedaulatan sepenuhnya terhadap bumi itu.

Seterusnya dari 1853 hingga 1905, James Brooke dan anak saudaranya, Charles Brooke bertindak meluaskan kawasan jajahan Sarawak sehingga keluasan negeri itu bertambah sehingga tiga kali ganda keluasan asal. Keluasan akhir Sarawak yang diluaskan keluarga Brooke, kekal sehingga kini.

Bagaimanapun, sepanjang zaman pemerintahan Brooke, terdapat beberapa penduduk tempatan yang melancarkan penentangan bagi memerdekakan tanah air mereka dan mengusir penjajah keluar dari negeri itu.

Antara pejuang kebangsaan itu adalah Sharif Sahap (1844); Linggir (1894) yang mengetuai orang Iban menyerang kapal perang kepunyaan James Brooke; Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Ghapur (1859); Rentap (1853) yang mengetuai orang Iban menyerang pasukan British di Sekrang selain Banting (1893) yang turut memimpin orang Iban menentang British.

Penentang Kerajaan Brooke turut membabitkan sekumpulan orang Cina pada 1857. Kumpulan Cina terbabit adalah dari kongsi Hakka mengusahakan lombong emas di Bau, sebuah pekan lombong emas di Sarawak terletak kira-kira 40 kilometer jauhnya ke pedalaman Kuching.

Mereka sampai di kawasan itu lama sebelum ketibaan James Brooke dan pada pemerintahan British, kaum Cina itu dibiarkan mengurus hal ehwal mereka sendiri dengan syarat mereka membayar cukai yang dikenakan berdasarkan jumlah penduduk.

Selisih faham antara James Brooke dan orang Cina ini bermula apabila denda sebanyak 15 pound dikenakan ke atas kongsi Hakka di Bau kerana menyeludup candu dan tindakan itu menyebabkan kemarahan kaum Cina meluas.

Selanjutnya pada malam 18 Februari 1857, kongsi gelap tempatan memulakan pemberontakan apabila 600 orang Cina yang bersenjata menyerang Kuching. Bangunan dimusnahkan serta beberapa orang Inggeris dibunuh.

James Brooke terlepas dalam serangan itu dengan berenang di bawah beberapa jong Cina di teluk kecil berhampiran rumahnya sebelum melarikan diri ke rumah seorang kenalan bagi menyelamatkan diri.

Kemenangan orang Cina menerusi serangan di Kuching tidak kekal lama apabila Charles Brooke membuat serangan balas menggunakan kapal perang yang lebih hebat dan berjaya menghalau orang Cina ke seberang sempadan.

Walau pelbagai penentangan dilakukan pejuang kebangsaan tempatan, Kerajaan Brooke berjaya mengekang pemberontakan itu dan meneruskan penguasaan mereka di Sarawak selama kira-kira 100 tahun.

Daripada James Brooke, tampuk pemerintahan sebagai Raja Putih Sarawak beralih kepada Charles Brooke pada 1868 iaitu selepas kematian bapa saudaranya. Seterusnya pada 1917, kematian Charles Brooke menyebabkan Charles Vyner Brooke dilantik Raja Putih Sarawak Ketiga yang juga terakhir sebelum lelaki itu menyerahkan Sarawak kepada British selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Selama pemerintahan dan penjajahan Kerajaan Brooke di Sarawak, mereka mengeksploitasi hasil bumi Sarawak dan meneroka tanah subur bagi mengaut kekayaan.

FAKTA
Perjanjian dengan James Brooke

# James Brooke memerintah Sarawak dan menguasai segala hasilnya.
# James brooke harus menghormati dan memelihara undang-undang dan adat istiadat Melayu.

Perjanjian Sultan Omar Ali Saifuddin-James Brooke 1842

# Sultan Brunei menyerahkan Sarawak dari kawasan Tanjung Datu ke Sungai Samarahan dan menyerahkan segala hasil cukai kepada James Brooke dan pewarisnya.
# James Brooke akan membayar 2,500 dolar setiap tahun kepada baginda.
# Agama dan adat istiadat penduduk Sarawak tidak boleh diganggu.
# Sultan Brunei mengiktiraf James Brooke sebagai Raja Putih Sarawak

petikan Berita Minggu

Read more...

  © Blogger template Merdeka by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP