Jejak: Johor diperalat usir Portugis

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Belanda tidak serahkan Melaka kepada Kesultanan Johor sebaliknya menubuhkan kerajaan sendiri jadi pangkalan baru

MENELITI lembaran sejarah kemerdekaan Malaysia, pastinya tercatat pada suatu perenggan bahawa Belanda adalah antara bangsa asing yang pernah menjajah tanah air kita.

Lebih tepat adalah Belanda dipercayai penjajah kedua yang menjajah tanah air kita selepas Portugis malah bangsa asing itu saja menduduki dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu selama 131 tahun.

Lembaran sejarah itu bermula pada 1641 apabila angkatan perang Belanda yang dibantu tentera Kesultanan Johor, berjaya mengalahkan Portugis yang menguasai Melaka ketika itu.

Sebelum itu, Melaka berada di bawah pemerintahan Portugis selama 130 tahun selepas merampasnya dengan memerangi Kerajaan Melaka pimpinan Sultan Mahmud Shah pada 1511.

Dalam peperangan itu, Sultan Melaka dan pengikut terpaksa berundur ke Bentan (Riau) seterusnya mengasaskan Kesultanan Johor. Berkurun berlalu, kerajaan baru itu sentiasa menyerang Portugis di Melaka untuk merampas kembali kedaulatan negara dan hak mereka.

Serangan demi serangan yang berterusan bagaimanapun masih gagal mengalahkan Portugis di Melaka. Malah, serangan terbesar menggabungkan angkatan tentera Johor, Perak, Pahang dan Japara (Jawa) masih gagal meruntuhkan kubu Portugis walaupun pahlawan Melayu mengepung Melaka selama tiga bulan.

Sehinggalah kemunculan Belanda yang sedang mencari pengaruh di Tanah Melayu ketika itu. Mereka mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Johor dan kepada Sultan Johor, mereka menyatakan persetujuan untuk menghulurkan bantuan ketenteraan memerangi Portugis.

Dengan bantuan Belanda, Johor semakin yakin untuk meraih kemenangan ke atas Portugis seterusnya mendapatkan kembali tampuk kesultanan mereka yang ditakluk bangsa asing itu. Mereka beriltizam memerdekakan Melaka yang sudah 130 tahun dijajah Portugis.

Pada 14 Januari 1641, bersama kelengkapan senjata yang hebat, angkatan perang Belanda dan Johor bergerak menuju ke Melaka. Serangan besar-besaran akan dilakukan bagi memusnah dan mengusir penjajah itu dari bumi Melaka buat selama-lamanya.

Pertempuran hebat kemudian menggegarkan bumi Melaka. Laksamana Tun Abdul Jamil yang mengetuai angkatan perang Johor, menggempur Portugis dari jalan darat manakala Belanda menyerang Melaka dari laut.

Ledakan meriam, peluru senapang berterbangan mencari mangsa. Keris pahlawan Melayu mencantas dan menikam jasad penjajah dan akhirnya pertempuran sengit yang menumpahkan banyak darah itu berakhir.

Portugis yang ketakutan, lintang-pukang melarikan diri dan sorakan tentera Johor dan Belanda bergema membelah ruang udara Melaka. Selepas ratusan tahun, Melaka akhirnya bebas dan beroleh kemerdekaan dari Portugis pada hari itu.

Bagaimanapun, selepas berakhirnya peperangan menentang Portugis, Kerajaan Johor mula menyedari yang mereka ditipu. Hasrat untuk mendapatkan kembali hak dan negeri asal mereka yang terlalu lama dijajah, masih tidak kesampaian. Belanda bermain helah.

Selepas penawanan Melaka, Belanda tidak menyerahkan negeri itu kepada Johor sebaliknya bangsa asing itu menubuhkan kerajaan mereka dan bertapak di situ.

Bagi bangsa asing itu, Melaka amat penting kepada strategi Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) iaitu syarikat perdagangan antarabangsa yang ditubuhkan Kerajaan Belanda.

Kedudukan Melaka yang strategik sehingga pernah menjadi pelabuhan entrepot termasyhur menarik minat Belanda untuk menubuhkan pangkalan mereka di situ.

Mereka berharap dapat memanipulasikan kedudukan Melaka yang terletak di tengah laluan perdagangan utama Barat ke Timur selain kekayaan hasil bumi di negeri sekitar Melaka akan membawa keuntungan kepada mereka.

Belanda kemudian membuat perjanjian perdagangan dengan beberapa negeri Melayu seperti Kedah, Ujung Salang, Bangkeri dan Perak bagi mendapatkan timah. Perjanjian menyebabkan Belanda menubuhkan pangkalan, kilang dan aset mereka di negeri terbabit.

Bagaimanapun, kehadiran bangsa asing itu bersama niat untuk meragut hasil bumi watan sebanyak mungkin selain diketahui penduduk sebagai penjajah Melaka, jelas tidak disenangi orang Melayu.

Pada 1651, pangkalan di Perak dimusnahkan penduduk tempatan manakala tentera Belanda yang ditugaskan di lokasi itu, dibunuh. Pada 1660 pula, kilang yang dibina Belanda di Ujung Salang, terpaksa ditinggalkan. Belanda juga turut berperang dengan orang Melayu di Naning yang wilayahnya terletak bersebelahan Melaka.

Penjajahan Belanda menyebabkan aktiviti perdagangan di Melaka merosot. Pada era kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan entrepot, pedagang daripada pelbagai negara bebas berniaga barang masing-masing tetapi apabila Belanda menjajah, VOC ingin memonopoli semua barang yang dijual.

Selain itu, kemerosotan perdagangan di Melaka turut berpunca daripada keputusan Belanda yang ingin memajukan Betawi (Jakarta) lebih dari Melaka, berikutan Betawi adalah pangkalan utama pentadbiran VOC di Timur.

Kemerosotan populariti Melaka di kalangan pedagang asing menyebabkan Johor mengambil peluang membuka pelabuhan dan pusat tumpuan perdagangan di Riau iaitu satu daripada jajahan kerajaan itu.

Aktiviti perdagangan di Riau kemudian jauh mengatasi Melaka berikutan barang yang didagangkan di pelabuhan itu lebih pelbagai.

Kesibukan pelabuhan Riau dilihat sendiri Gabenor Belanda, Thomas Silcher yang melawat pusat pentadbiran Johor itu pada 1689. Tatkala melihat jumlah kapal yang berlabuh di pelabuhan itu, Silcher berkata: “Terlalu banyak.”

Melihat kemeriahan Riau, Gabenor Belanda itu mungkin menyedari yang pengaruh Belanda di Tanah Melayu juga semakin merosot dan Johor mula menjadi kerajaan terkemuka di Selat Melaka sekali gus mengulangi kegemilangan Kesultanan Melaka, suatu ketika dulu.

Belanda bertapak selama 154 tahun di Melaka

BELANDA mampu menarik nafas lega apabila kegemilangan Kerajaan Johor dan pelabuhan Riau tidak kekal lama.

Perebutan kuasa dan takhta selain pembabitan orang Bugis dalam pentadbiran Johor menyebabkan kegemilangan Kerajaan Johor menjadi suram pada awal abad ke-18. Bugis pada asalnya dibawa masuk ke dalam pentadbiran Kerajaan Johor oleh Raja Sulaiman.

Raja Sulaiman iaitu waris Sultan Johor terdahulu (Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV), membuat pakatan dengan ‘anak raja Bugis lima bersaudara’ untuk menggulingkan Raja Kechil, yang merampas takhta itu daripada ayahandanya.

Selepas Raja Kechil berjaya dikalahkan pada 1722, Raja Sulaiman ditabalkan sebagai Sultan Johor dan baginda melantik orang Bugis sebagai pembesar. Daeng Merewah dilantik Yamtuan Muda Riau manakala Daeng Menampok dikurniakan gelaran Raja Tua.

Seterusnya, pakatan Orang Melayu Johor dengan Bugis tidak kekal lama apabila berlaku perebutan kuasa dalam kerajaan antara dua bangsa itu.

Pertelingkahan dalaman yang dialami Kerajaan Johor menyebabkan Belanda ‘tersenyum gembira’ dan aktiviti perdagangan di Melaka kembali dalam keadaan baik sehinggalah sekitar 1750-an, suatu kuasa baru muncul di Tanah Melayu - British.

Kehadiran British menerusi Syarikat Hindia Timur British (SHTI) jelas memberi persaingan kepada Belanda. British menjalinkan hubungan perdagangan timah dengan Riau malah mereka menduduki pangkalan Belanda di Perak.

Bagi menyekat perluasan kuasa British, Belanda bertindak menyerang Riau yang dikuasai Bugis pada 29 Oktober 1784. Tentangan orang Bugis gagal mengatasi serangan Belanda yang akhirnya berjaya menjajah pelabuhan itu.

Kejatuhan Riau sekali gus menamatkan kemerdekaan Johor dan Belanda kemudian bertindak membina kubu mereka di Riau. Selain Riau, Belanda juga melebarkan penjajahan mereka ke negeri lain di Tanah Melayu. Johor, Selangor, Perak, Terengganu dan Pahang menjadi wilayah Belanda dan VOC mula mendominasi Selat Melaka.

Pada 1786, British berjaya menjajah Pulau Pinang dari Kedah dan menubuhkan pangkalan ketenteraan mereka di pulau itu.

Penguasaan Belanda di Tanah Melayu kembali merosot ketika berlakunya Perang Napoleon membabitkan beberapa negara Barat. Tekanan perang menyebabkan Belanda menyerahkan Melaka kepada SHTI pada Ogos 1795.

Bagaimanapun, selepas tamatnya Perang Napoleon itu, British memulangkan Melaka kembali kepada Belanda pada 1818, mengikut Perjanjian Vienna.

Seterusnya pada 1824, Belanda menandatangani ‘Perjanjian London’ dengan British. Antara kandungan perjanjian adalah British menyerahkan Bangkahulu di Sumatera kepada Belanda manakala Belanda menyerahkan Melaka kepada British.

Syarat lain adalah Belanda tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terbabit dalam hal ehwal negeri Melayu manakala Inggeris pula tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terbabit dalam hal ehwal mana-mana kerajaan di selatan Singapura dan Sumatera yang berada di bawah pengaruh Belanda.

Pada 9 April 1825, Belanda menyerahkan Melaka kepada British selepas 154 tahun menjajah tanah air kita. Penyerahan Melaka kepada British menyatakan satu hakikat - tanah air kita sekali lagi dijajah bangsa asing.

FAKTA: Penjajahan Belanda

1641: Belanda menewaskan Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka dengan bantuan Sultan Johor. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Couthinho, menyerah kalah kepada Kapten Minne Williemson Kaartokoe.

1645-1670: Perang antara Belanda dan Naning.

1650: Bangunan Stadthuys dibina sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya, dan dijadikan pusat pentadbiran Belanda di Melaka.

1710: Gereja St Peter, gereja Katolik tertua di Malaysia, dibina selepas Belanda memberi kebebasan kepada penganut Katolik untuk mengamalkan agama mereka.

1753: Gereja Christ, yang melambangkan seni reka bentuk Belanda, disiap sepenuhnya selepas dibina selama 12 tahun.

1756: Bugis di bawah pemerintahan Daeng Kemboja, menyerang Belanda di Melaka.

1784: Raja Haji memerangi Belanda di Melaka tetapi terbunuh ketika pertempuran di Teluk Ketapang.

1795: British menguasai Melaka buat sementara ketika Perang Napoleon.

1807: British di bawah William Farquar memusnahkan kubu Portugis dan mengusir pengaruh Portugis dari Melaka. Kemudian Belanda merancang menukarkan pedagang yang datang ke Melaka berpindah ke Pulau Pinang dan berhasrat melemahkan kekuatan British di Melaka.

1808: Kedatangan Stamford Raffles menyelamatkan Melaka daripada kemusnahan dengan persetujuan Lord Minto. Rancangan pemindahan penduduk dibatalkan.

1818: Melaka dipulangkan kepada Belanda di bawah Perjanjian Vienna selepas Perang Napoleon.

1819: Sultan Husin Shah menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris.

1824: Perjanjian London dibuat yang mana British memberi Bangkahulu di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka. Perikatan ini ditandatangani untuk mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda. British menguasai kawasan utara Selat Singapura sementara Belanda di bahagian Selatan (Kepulauan Indonesia).

petikan Berita Minggu 24 Jun 2007

Read more...

Jejak: Portugis guna tipu muslihat jajah Melaka

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Kedatangan Benggali Putih ke Timur untuk teruskan Perang Salib, hancurkan Kerajaan Islam


TATKALA kita dilaungkan yang Malaysia kini sudah 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita seolah-olah lupa yang negara sebenarnya dijajah selama 446 tahun.

Nyata usia kemerdekaan negara masih terlalu ‘muda’ berbanding tempoh tanah watan kita dijajah.

Antara penjajah pertama yang menduduki bumi bertuah milik kita ialah Portugis apabila mereka menjajah Melaka pada 1511 dan mendudukinya selama 130 tahun.

Bermula daripada Portugis, tanah air kita dijajah pula oleh Belanda, British dan Jepun sebelum ia diserah kembali untuk ditadbir anak watan sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957.

Sejarah panjang penjajahan negara ini bermula dengan berlabuhnya angkatan laut Portugis yang digelar ‘Benggali Putih’ di Melaka pada 1509. Diketuai Lopez de Sequeira, angkatan laut Portugis dihantar Raja Portugal kononnya untuk menjalinkan hubungan persahabatan antara Kerajaan Portugal dan Kerajaan Melaka.

Bagaimanapun, terdapat niat lain di sebalik jalinan hubungan ditawarkan Portugis. Berbekalkan slogan ‘Gospel, Gold and Glory’ (Injil, Emas dan Kemasyhuran), mereka mula belayar ke Timur seawal abad ke-15.

Kedatangan Portugis ke Timur dikaitkan dengan keinginan mereka meneruskan Perang Salib; mereka ingin menghancurkan Kerajaan Islam di Timur termasuklah Kerajaan Melaka yang terkenal sebagai Pusat Pengembangan Islam di Nusantara seterusnya menyebarkan ajaran Kristian.

Selain itu, pelayaran mereka ke Timur juga bertujuan mengaut kekayaan menerusi perdagangan rempah seperti lada hitam, kayu manis, bunga cengkih dan buah pala.

Sebelum itu, perdagangan rempah dimonopoli pedagang Islam yang mendapatkan bekalan di Melaka sebelum menjual pada harga tinggi di Eropah. Portugis berpendapat jika mereka berjaya menguasai Selat Melaka, mereka akan berjaya mengambil alih kekayaan itu daripada pedagang Islam.

Berikutan itu, dengan bermanis muka, Lopez de Sequeira masuk menghadap Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud Shah dan bagai menanam tebu di tepi bibir, lelaki Portugis terbabit mula menaburkan janji manis mengenai kebaikan jalinan hubungan antara kedua-dua kerajaan.

Tanpa menyedari niat serong di sebalik kata-kata Lopez de Sequeira, Sultan Mahmud Shah menyambut baik hasrat Portugis malah membenarkan mereka berniaga di Melaka. Baginda juga memberi jaminan keselamatan sepanjang Portugis berniaga di situ.

Bagaimanapun, hasrat Portugis untuk menguasai perdagangan dan menentang Islam diketahui pedagang Islam dari Jawa dan Gujerat lalu mereka segera memaklumkan muslihat bangsa asing itu kepada Bendahara Tun Mutahir.

Bendahara Tun Mutahir pantas menyampaikan berita itu kepada Sultan dan menasihati baginda supaya menangkap orang Portugis termasuk pegawai kanan mereka, Ruy de Araujo.

Lopez de Sequeira yang ketakutan kerana menyedari tembelang mereka sudah pecah, bertindak melarikan diri ke pangkalan mereka di Goa, India sekali gus meninggalkan beberapa anak kapalnya ditangkap dan dibunuh tentera Melaka.

Tindak balas Melaka itu segera disampaikan kepada Raja Portugal dan pada 1510, satu angkatan laut diketuai Alfonso de Albuquerque dihantar untuk menyerang Kerajaan Melayu itu.

Sebaik tiba, Alfonso de Albuquerque menghantar utusan menuntut askar Portugis yang ditawan segera dibebaskan dan Melaka perlu membayar ganti rugi kepada mereka. Wizurai Portugis itu juga meminta untuk mendirikan kubu di Melaka tetapi semua tuntutan itu ditolak dengan beraninya oleh Sultan Mahmud Shah.

Melihat tuntutannya tidak dilayan, ledakan meriam daripada kapal perang Portugis dilepaskan pada 25 Julai 1511 seterusnya bermulalah serangan pertama Portugis terhadap Melaka.

Soldadu perang Portugis segera mendarat di pantai Melaka dan peperangan hebat terus berlaku. Suatu ketika, askar Portugis berjaya menguasai jambatan Sungai Melaka tetapi pahlawan tempatan segera bangkit menentang.

Serangan balas diketuai Sultan Ahmad Shah menyebabkan angkatan Portugis terpaksa berundur.

Portugis kembali menyusun strategi dan melancarkan serangan kedua pada 10 Ogos 1511. Pertempuran hebat meletus lagi di bumi Melaka dan selepas dua minggu bertempur, akhirnya Alfonso de Albuquerque berjaya menawan dan menjajah Melaka.

Sultan Ahmad Shah dan ayahandanya, Sultan Mahmud Shah; pembesar, kerabat diraja serta beberapa rakyat terpaksa berundur ke Muar. Dari Muar, mereka berundur ke Pahang seterusnya Bentan.

Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mendirikan kerajaan baru selepas kemangkatan anakandanya, Sultan Ahmad Shah. Selepas penawanan Melaka, Sultan Mahmud Shah beberapa kali cuba merampas kembali negaranya daripada Portugis tetapi gagal.

Seterusnya pada 1511 kekal dalam ingatan kebanyakan kita - ia adalah tahun di mana Melaka yang menjadi simbol kegemilangan Kerajaan Melayu di Tanah Melayu atau mungkin mewakili tanah air kita, buat pertama kalinya dijajah bangsa asing.

Kelemahan pemerintahan Melaka punca dijajah

PENJAJAHAN Melaka oleh Portugis pada 1511 turut berpunca daripada beberapa kelemahan negara itu sendiri.

Melaka yang dibuka pada 1400 oleh Parameswara atau Sultan Iskandar Shah mencapai kemuncak kegemilangannya sebagai sebuah kerajaan dan pusat perdagangan di zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah iaitu dari 1458 hingga 1477.

Bagaimanapun, selepas kemangkatan Sultan Mansor Shah, zaman kegemilangan Melaka semakin menurun. Sultan Alauddin Riayat Shah yang menggantikan baginda, mati diracun pada 1488 seterusnya diganti Sultan Mahmud Shah.

Di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah, beberapa masalah dalaman timbul dalam Kerajaan Melaka antaranya kelemahan pentadbiran, masalah perpaduan, kelemahan ketenteraan sehingga akhirnya, kedatangan dan serangan Portugis menyebabkan Melaka akhirnya dijajah.

Kelemahan dalam pentadbiran kerajaan berlaku apabila Bendahara Tun Perak meninggal dunia pada 1498 dan jawatannya diganti Bendahara Tun Mutahir yang bersikap pilih kasih sehingga mencetuskan iri hati di kalangan pembesar lain.

Sikap pilih kasih itu juga menyebabkan Tun Mutahir difitnah yang beliau cuba mengatasi kekayaan Sultan menyebabkan Sultan Mahmud Shah amat murka. Tanpa usul periksa, baginda menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tun Mutahir dan keluarganya.

Selepas kematian Tun Mutahir, barulah Sultan Mahmud Shah menyedari kesilapannya. Dalam kekesalahn, baginda menyerahkan tampuk kepimpinan kepada anakandanya, Sultan Ahmad Shah tetapi pengganti baginda adalah seorang pemerintah yang tidak cekap dan lemah.

Pengganti Bendahara Tun Mutahir iaitu Tun Pepatih Putih adalah seorang yang uzur menyebabkan kewibawaan pentadbiran Melaka menjadi semakin lemah. Masalah dalaman semakin menjadi-jadi dengan amalan rasuah dan fitnah berleluasa.

Cukai kepada pedagang pula semakin tinggi menyebabkan pedagang mula beralih untuk berniaga di pelabuhan lain yang mengenakan cukai lebih rendah seperti Acheh, Bantam, Patani dan Brunei.

Masalah perpaduan di kalangan penduduk Melaka timbul apabila Tun Mutahir dilantik sebagai bendahara menggantikan Tun Perak. Pelantikan Tun Mutahir menimbulkan persaingan antara Orang Melayu dengan India-Muslim dan kemuncak masalah adalah pembunuhan Tun Mutahir akibat fitnah.

Kesan masalah itu turut merebak kepada rakyat jelata di mana masyarakat Melaka semakin berpecah-belah dan tidak bersatu padu. Keadaan itu turut menjejaskan perdagangan di Melaka.

Kelemahan askar Melaka yang hanya menggunakan senjata tradisional seperti keris, panah, sumpit beracun, perisai dan tombak turut menjadi punca kekalahan dan penjajahan Melaka oleh Portugis.

Walaupun ada antara tentera Melaka menggunakan senapang dan meriam, senjata api milik Portugis ternyata lebih hebat malah meriam mereka mampu menembak ke sasaran yang lebih jauh.

Struktur dan strategi ketenteraan Portugis juga nyata lebih lengkap dan terlatih berbanding tentera Melaka. Portugis mendapat sokongan dari pangkalan tentera mereka di Goa semasa melancarkan peperangan sebaliknya askar upahan Melaka dari Jawa bertindak melarikan diri semasa serangan Portugis.

Semua kelemahan itu menyebabkan Melaka akhirnya berjaya dijajah Portugis dan seharusnya ia menjadi iktibar kepada kita pada hari ini, semoga sempena kemerdekaan negara yang ke-50, sejarah hitam penjajahan itu tidak akan berulang.

FAKTA:
Pemerintahan Portugis

# 1511: Alfonso de Albuquerque tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina kubu Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak Sultan. Selepas 10 hari mengepung, Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos dan membina A Famosa dalam tempoh enam bulan. Dengan tewasnya Sultan Mahmud Shah, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

# 1513: Patih Unus dari Jawa, seorang pahlawan Jawa yang menjadi Sultan Demak di Sumatera menyerang Kerajaan Portugis di Melaka.

# 1518-1519: Sultan Mahmud Shah mengerah rakyatnya membina tembok tinggi mengelilingi Melaka dalam masa tiga bulan dalam usaha menawan kembali negara itu.

# 1521: Gereja St Paul dibina Kapten Portugis, Duarte Coelho dan dinamakan ‘Our Lady of The Hill’, tetapi kemudian ditukar Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan dinamakan Gereja St Paul.

# 1523: Sultan Mahmud gagal sekali lagi dalam penawanan Melaka.

# 1525: Laksamana Hang Nadim mengepung Kota A Famosa. Portugis membuat catuan makanan dari Goa.

# 1526: Seangkatan kapal besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud Shah. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatera.

# 1528: Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatera.

# 1537: Acheh menyerang Portugis di Melaka pada kali pertama.

# 1545: Buat pertama kalinya, Fr Francis Xavier tiba di Melaka. Pada keseluruhannya, beliau membuat lima lawatan ke Melaka kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.

# 1548: Kolej St Paul, sekolah pertama di Melaka, dibina St Francis Xavier untuk orang Katolik Portugis dan orang tempatan yang murtad memeluk Kristian.

# 1551: Gabungan Johor, Japara dan Perak menawan Melaka dan mengepungnya selama tiga bulan.

# 1568: Johor membantu Portugis Melaka mematahkan serangan Acheh. Acheh mengawal Selat Melaka selama 60 tahun.

# 1582: Portugis membantu Johor daripada serangan Acheh dan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah menjadi Sultan Johor pertama yang melawat Melaka.

# 1587: Johor menyerang Portugis secara besar-besaran melalui serangan darat dan laut tetapi gagal.

# 1597: Belanda membuat serangan pertama ke atas Kota Portugis Melaka.

# 1606: Belanda di bawah Laksamana Matelieff de Jonge bekerjasama dengan Sultan Johor untuk menguasai Melaka. Percubaan selama tiga bulan gagal apabila Portugis mendapat bantuan dari Goa.

# 1615-1616: Acheh menyerang Melaka.

# 1628-1629: Acheh memerintah Melaka selama lapan bulan sebelum Portugis kembali mengambil Melaka.

# 1636: Kapal Belanda memusnahkan kapal Portugis di pelabuhan.

# 1641: Belanda menewaskan Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka dengan bantuan Sultan Johor.


petikan Berita Minggu 17 Jun 2007

Read more...

Jejak: Yamtuan Antah pelopor tentang penjajah di Negeri Sembilan

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Tindakan Datuk Kelana Syed Abdul Rahman, Datuk Muda Linggi bersekutu dengan British timbulkan kemarahan penduduk

PERJUANGAN menentang penjajah di Negeri Sembilan dipelopori Tunku Laksamana Antah Ibni Almarhum Raja Radin atau dikenali Yamtuan Antah yang juga Yamtuan (pemerintah) kelapan bagi kawasan Seri Menanti.

Perjuangan di negeri itu bermula pada Mac 1872 apabila Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Laksamana Syed Abdul Rahman membuat perjanjian membenarkan seorang Inggeris, Henry Velge membuka lombong bijih timah di Sungai Ujong (kini Seremban).

Bermula detik itu, British bertapak di Negeri Sembilan. Kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap pada April 1874 apabila Datuk Kelana Syed Abdul Rahman dan Datuk Muda Linggi pergi ke Singapura untuk bertemu British membuat satu perjanjian dengan wakil British, Andrew Clarke yang boleh merugikan bangsa dan tanah air iaitu menawarkan Sungai Ujong berada di bawah lindungan penjajah itu.

Lebih mengecewakan apabila pada Ogos tahun sama Datuk Kelana menghantar surat kepada Clarke yang mengalu-alukan kehadiran seorang residen untuk menasihatinya memerintah Sungai Ujong.

Bendera Union Jack akhirnya dinaik dan dikibarkan di puncak tiang berhampiran rumah Datuk Kelana di Ampangan pada September 1874, seterusnya disusuli istiadat tembakan meriam sebanyak 21 das seolah-olah British cuba memberitahu penduduk yang mereka berkuasa di Sungai Ujong.

Bagi mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong, Datuk Kelana yang dibantu kira-kira 150 askar British lengkap bersenjata kemudian menyerang Datuk Bandar Tunggal dan membakar Rahang yang dimusuhinya pada November 1874. Datuk Bandar Tunggal akhirnya mengaku kalah akibat serangan itu.

Dengan kejayaan itu pada awal 1875, Residen British pertama di Sungai Ujong, PJ Murray dilantik untuk membantu Datuk Kelana memerintah. Pembesar lain di Negeri Sembilan jelas tidak setuju dengan dasar berkenaan.

Bagi mereka, tindakan Datuk Kelana membawa masuk British ke Sungai Ujong umpama mengundang penjajah untuk menjajah negeri mereka.

Hari berikutnya memperlihatkan yang Datuk Kelana masih tidak menghiraukan pandangan pembesar lain. Lalu pakatan pembesar menabalkan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Seri Menanti yang mana jajahan itu meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol.

Tindakan Datuk Kelana membenarkan British bertapak di Sungai Ujong mengeruhkan hubungan antara dirinya dengan pembesar lain termasuk Yamtuan Antah. Yamtuan Antah akhirnya tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong.

Pertengahan 1875, di bawah lindungan British, Datuk Kelana mengisytiharkan Terachi yang terpisah oleh Bukit Putus, sebagai sebahagian daripada wilayah miliknya iaitu Sungai Ujong sekali gus mencetus api pertelingkahan dengan Yamtuan Antah.

Datuk Kelana dan British bertindak melantik orangnya sebagai pemerintah Terachi dengan anggapan daerah itu sudah menjadi milik mereka pada November tahun sama. Yamtuan Antah yang semakin berang kemudian memecat Datuk Pemerintah Terachi yang dilantik Datuk Kelana.

Residen British, Murray yang berpihak kepada Datuk Kelana menganggap perbuatan Yamtuan Antah itu sebagai mengganggu daerah pemerintahan Datuk Kelana dan melanggar undang-undang.

Pada 27 November 1875, Murray ke Terachi bersama 20 askar diketuai Leftenan Hinxman selain 30 polis dan masing-masing seorang doktor dan jurubahasa Australia bernama Dominic Daly pergi ke Terachi, tetapi mendapati tiada kekacauan berlaku di kawasan itu.

Sehari kemudian, Murray kembali ke Sungai Ujong tetapi Daly ditinggalkan di Terachi untuk mengukur jarak antara Kampung Terachi dengan Kuala Pilah. Di tepi sebatang sungai, Daly bertemu sekumpulan penduduk seramai 200 orang yang menuntut lelaki asing itu dan orang-orangnya balik ke Sungai Ujong.

Daly ketakutan, dia segera meminta bantuan Murray di Sungai Ujong dan Residen British itu bertindak menghantar pasukan askarnya yang diketuai Hinxman. Kedatangan bantuan tentera British ke lembah Terachi itu segera dimaklumkan kepada Yamtuan Antah.

Kedatangan British itu seolah-olah mencabar kedaulatan Seri Menanti lalu Yamtuan Antah mengerahkan pasukannya seramai kira-kira 4,000 orang supaya bersedia untuk menghadapi peperangan.

Kebangkitan Yamtuan Antah untuk mengusir penjajah itu turut mendapat sokongan beberapa pembesar antaranya Datuk Siamang Gagap, Tengku Besar Tampin, penduduk Rembau, Jelebu dan Johol.

Seterusnya pasukan perang Yamtuan Antah segera mendaki dan menyeberangi Bukit Putus untuk memasuki Paroi. Di situ, Yamtuan Antah mengutus surat amaran kepada Murray supaya tidak lagi mengganggu kedaulatan Seri Menanti dan menceroboh Terachi.

Murray yang ketakutan melihat kebangkitan penduduk dipimpin Yamtuan Antah segera meminta bantuan ketenteraan dari Negeri-negeri Selat.

Keadaan British di Sungai Ujong semakin genting kerana mereka khuatir penduduk akan menyerang. Hinxman dan askar lain yang berada di Rasah, segera menggali parit dan membuat kubu pertahanan di sekeliling tapak perkhemahan tentera mereka.

Pada Disember 1875, pasukan Yamtuan Antah seramai 200 orang berjaya menawan Paroi dan mereka membina kubu di situ tetapi di Sungai Ujong, bantuan British dari Melaka yang terdiri daripada 20 askar diketuai Leftenan Peyton tiba untuk menentang kebangkitan penduduk.

Dengan bantuan tambahan, Hinxman membawa satu pasukan perang seramai 30 askar, 30 polis dan enam askar Arab dari Rasah untuk menyerang pasukan Yamtuan Antah di Paroi.

Bagaimanapun, sebaik sampai, pasukan British terlebih dulu diserang penduduk menggunakan senapang. Bilangan pejuang tempatan yang lebih ramai daripada pasukan Hinxman menyebabkan musuh hampir dapat dikepung dan ditahan.

Menyedari mereka akan kalah, askar British yang ketakutan segera melarikan diri dan balik ke Rasah. Tentera Yamtuan Antah berjaya menduduki dan bertahan di sebuah rumah di tepi Sungai Linggi.

Pada 5 Disember 1875, British semakin tertekan apabila pasukan diketuai Hinxman gagal merampas kembali Paroi. Mereka merancang serangan yang lebih hebat. Menggunakan meriam milik Datuk Kelana, mereka membedil pertahanan tentera Yamtuan Antah. Penduduk yang tidak dapat mempertahankan serangan meriam itu segera berundur.

Pada Disember 1875, pasukan askar British diketuai Hinxman sampai di Paroi dan mula menyerang kubu pertahanan Yamtuan Antah. Pertempuran hebat menggegarkan bumi Paroi pada hari itu.

Selepas satu jam berbalas tembakan, askar British akhirnya berjaya menyeberangi paya yang terbentang di hadapan kubu pertahanan Yamtuan Antah walaupun beberapa jasad askar mereka berjaya ditembak.

Hinxman dan Peyton kemudian nekad untuk terus memusnahkan kubu pertahanan tentera Yamtuan Antah. Mereka membawa satu pasukan seramai 20 askar British dan Arab menuju ke kubu pertahanan Yamtuan Antah tetapi mereka tersesat jalan. Dalam kebingungan, mereka terus diburu askar tempatan.

Tunku Laksamana akhirnya dilantik sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti

BANTUAN tambahan yang diminta Murray tiba di Sungai Ujong pada 8 Disember 1875. Diketuai Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Anson, lelaki asing itu tiba bersama pasukan perang terdiri daripada 350 askar British yang dibawa dari Melaka.

Kekalahan dalam pertempuran sebelum itu, menyebabkan British memperkuatkan serangan terhadap tentera Yamtuan Antah di Paroi. Kali ini, menggunakan beberapa pucuk meriam, mereka membedil kubu Yamtuan Antah.

Selepas melepaskan 10 das tembakan meriam, pasukan Yamtuan Antah terpaksa berundur. Selepas pertempuran hebat itu mengorbankan 37 askar British dan Arab selain mencederakan ramai pihak, akhirnya Paroi dapat dirampas semula British.

Pada 10 Disember 1875, bantuan British terus dibawa masuk iaitu pasukan askar Gurkha seramai 250 orang berserta pegawainya seramai 32 orang. Pasukan meriam daripada kapal perang HMS Thistle turut tiba di Sungai Ujong.

Dengan kekuatan tentera itu, Leftenan Kolenal Clay iaitu Ketua Pemerintah Askar Sungai Ujong merancang menyerang Bukit Putus yang masih berada di bawah kekuasaan pengikut Yamtuan Antah, daripada pelbagai penjuru.

Pada 19 Disember 1875, satu pasukan perang British diketuai Murray bertolak dari Sungai Ujong menuju Bukit Putus melalui Langkap. Clay pula mengetuai pasukan seramai 280 orang.

Akhirnya berlaku pertempuran antara pasukan British dan pejuang tempatan di Bukit Putus dan akhirnya kawasan itu berjaya ditawan British. Selepas menawan Bukit Putus, Clay bersama pasukannya menuju Seri Menanti.

Menyedari kehadiran musuh, Yamtuan Antah dan keluarganya terpaksa berundur meninggalkan Seri Menanti dan bergerak mencari perlindungan di Johor.

Di negeri itu, Yamtuan Antah bertemu Sultan Johor, Maharaja Abu Bakar. Maharaja Abu Bakar kemudian menasihati baginda supaya berdamai dengan British. Dengan pertolongan Sultan Johor itu, pada Mei 1876, Yamtuan Antah membuat pertemuan dengan Gabenor Singapura iaitu William Jervois.

Yamtuan Antah bersama empat pembesar dari daerah Seri Menanti, Johol dan Inas sekali lagi menemui Gabenor British di Singapura pada November 1876.

Dalam pertemuan itu, pihak British memikirkan yang adalah lebih baik berdamai dengan penduduk setempat bagi menunjukkan imej baik mereka.

Lalu Kerajaan British bersetuju melantik Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti. Daerah lain dalam Negeri Sembilan akan diserahkan di bawah kekuasaan Ketua Daerah masing-masing manakala daerah Sungai Ujong berada di bawah kekuasaan British.

Selepas dua tahun berundur ke Johor, akhirnya Yamtuan Antah kembali ke tanah airnya, Seri Menanti. Beliau hanya sempat tinggal di Bandar Diraja itu selama 11 tahun apabila pada 1888, beliau meninggal dunia.

Tamatlah riwayat seorang pemerintah yang begitu cintakan tanah air sehingga sanggup melancarkan peperangan bagi mengusir British dari terus menjajah penduduk tempatan.

Semangat perjuangannya akan terus kekal diingati dan harap diwarisi seiring kewujudan daerah Seri Menanti khususnya dan Negeri Sembilan umumnya.

petikan Berita Minggu 10 Jun 2007

Read more...

  © Blogger template Merdeka by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP