Jejak: Residen angkuh, biadap dibunuh

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my) dan Mohd Idris Sulaiman

Orang Asli tetak kepala JWW Birch selepas ditusuk lembing penduduk

PADA 2 November 1875, adalah tarikh kematian seorang residen British yang angkuh serta biadab. Hasrat James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch untuk terus ‘memperhambakan’ orang Melayu tidak kesampaian sebaliknya kebiadapan lelaki asing itu menyebabkan nyawanya melayang.

Itulah kemuncak kepada sejarah perjuangan orang Melayu menentang penjajah asing di Pasir Salak, sejarah agung yang akan terus dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air.

Sejarah panjang itu bermula pada 20 Januari 1874 apabila Raja Abdullah iaitu seorang daripada kerabat diraja Perak melakukan kesilapan terbesar apabila meminta sokongan British bagi membolehkan dirinya merebut takhta menjadi sultan.

Lalu pada tarikh itu, Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan daripada takhta.

Bagaimanapun, terdapat satu daripada syarat Perjanjian Pangkor yang menjadi helah British bagi membolehkan mereka menjajah Perak - Sultan Perak harus menerima seorang Residen British untuk menasihati baginda memerintah.

JWW Birch kemudian dilantik sebagai residen pertama di Perak umumnya dan Tanah Melayu khususnya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Perak, lelaki asing itu mula besar kepala dan berlagak bagaikan dirinya raja yang memerintah Perak. Dia mula ‘memijak kepala’ sultan dengan tidak lagi menghormati peranan dan kuasa diraja dalam sistem pemerintahan orang Melayu.

Pelbagai peraturan baru yang menekan pembesar serta penduduk mula diperkenalkan Birch terutama membabitkan cukai yang tinggi. Keadaan itu menambahkan derita penduduk yang kebanyakannya hidup miskin.

Birch juga cuba mengambil alih tugas mengutip cukai daripada pembesar Melayu apabila menetapkan syarat baru iaitu hanya pegawai yang dilantiknya saja boleh mengutip cukai manakala cukai Kerajaan Perak akan diurus pegawai British. Syarat itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pembesar Melayu.

Lelaki asing itu juga semakin besar kepala apabila sesuka hati campur tangan di dalam adat istiadat penduduk dengan menghapuskan sistem hamba yang sudah lama diamalkan di Perak.

Sikap kurang ajar dan keangkuhan lelaki asing itu jelas terserlah apabila dia pernah mengarahkan sultan supaya diam dan mematuhi segala arahannya selaku residen apabila Sultan Abdullah menegurnya kerana membuat pelbagai tindakan tanpa merujuk kepada baginda.

Kemuncak kebiadapan Birch adalah apabila dia memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat supaya memberi hak kepada British untuk memerintah Perak. Sultan Abdullah diugut akan dilucutkan takhta jika baginda enggan menandatangani surat berkenaan.

Ugutan itu menyebabkan baginda mengadakan mesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875. Mereka dimaklumkan mengenai hasrat British untuk mengambil alih pemerintahan negeri serta tugas mengutip cukai.

Mendengar penjelasan Sultan Abdullah itu, pembesar semakin berang kepada British yang cuba menjajah Perak. Satu usul untuk membunuh Birch dikemukakan dan pelbagai cadangan diberikan antaranya dengan meracun, sihir dan menikam lelaki asing itu.

Akhirnya mesyuarat bersetuju untuk membenarkan Datuk Maharajalela iaitu pembesar kanan dalam Orang Besar Berlapan Perak serta Penghulu Pasir Salak, membunuh Birch dengan menikam penjajah itu.

Dalam pada itu, Birch terus memberi tekanan kepada Sultan Abdullah untuk membolehkan British menjajah Perak. Tekanan berterusan menyebabkan Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak untuk diperintah British pada 2 Oktober 1875.

Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan yang Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British dan akan diketuai seorang pesuruhjaya.

Surat pengisytiharan dicetak untuk ditampal di merata tempat di seluruh Perak. Pada mulanya ia ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das. Selepas itu surat berkenaan mula ditampal di tempat lain.

Berita itu sampai ke pengetahuan Datuk Maharajalela menyebabkan pembesar itu semakin berang. Dia bertekad untuk tidak membenarkan penjajah itu terus menjajah tanah airnya.

Datuk Maharajalela mengarahkan pengikutnya mula membina kubu di Pasir Salak dan mengumpulkan senjata kerana yakin yang Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman itu.

Sangkaannya benar apabila rombongan Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. Pagi keesokannya, Birch memerintahkan orangnya naik ke darat dan jurubahasanya iaitu Mat Arshad disuruh pergi ke rumah Datuk Maharajalela dan meminta pembesar itu menghadap lelaki British itu.

Bagaimanapun, arahan Birch itu menyebabkan pemerintah Pasir Salak itu melenting, sudahlah lelaki asing itu menceroboh ke kawasannya, berlagak pula bagai raja dengan memerintah untuk menghadapnya.

Reaksi Datuk Maharajalela itu segera disampaikan Mat Arshad kepada Birch tetapi lelaki asing itu tetap angkuh. Dia memerintahkan Mat Arshad dan pengikutnya segera menampalkan surat pemungutan cukai oleh British di seluruh pelusuk kampung.

Melihat pengikut Birch menampalkan surat berkenaan, penduduk kampung mula berang. Mereka mengoyak surat yang ditampal itu tetapi pengikut British itu tetap meneruskan tugas menampal surat itu tanpa mempedulikan sensitiviti penduduk.

Akhirnya situasi tegang mula tercetus. Mat Arshad masih tidak menghiraukan kemarahan penduduk Pasir Salak sebaliknya terus menampal surat pengumuman kutipan cukai di dinding kedai emas di kawasan itu.

Tindakan Mat Arshad yang tidak mengendahkan larangan dan sensitiviti penduduk menyebabkan hati Pandak Indut semakin membara. Pengikut Datuk Maharajalela itu meluru ke arah Mat Arshad dan terus mengoyakkan surat yang ditampal lelaki itu.

Mat Arshad tidak peduli dan bagaikan mencabar Pandak Indut, dia terus menampal surat pengumuman yang baru. Sekali lagi Pandak Indut mengoyakkan surat berkenaan.

Selepas beberapa kali surat berkenaan dikoyak dan melihat Mat Arshad terus menampalkan surat baru, Pandak Indut tidak dapat bersabar lagi. Baginya, lelaki Melayu yang menjadi orang suruhan bangsa asing itu sudah melampau.

Dengan pantas Pandak Indut menusuk kerisnya ke jasad Mat Arshad. Lelaki itu mengerang kesakitan dan terus rebah ke tanah. Tindakan Pandak Indut menikam pengikut Birch itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak.

Jeritan amarah penduduk bergema membelah langit Pasir Salak. Mereka mula mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing.

Askar pengawal Birch yang ketakutan melihat amukan dan serbuan penduduk kampung, segera melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal. Keriuhan di luar menyentak Birch yang sedang mandi ketika itu. Bagaimanapun, ketika dia menyedari yang penduduk kampung mula mengamuk, segala-galanya sudah terlambat.

Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch. Penduduk terus merusuh ingin membunuhnya. Dalam keadaannya yang cedera parah, Birch cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.

Ketika dia timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Putum iaitu seorang pengikut Datuk Maharajalela daripada kalangan Orang Asli, dengan pantas menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang. Darah merah mencemari air sungai dan jasad Birch akhirnya tenggelam dan dihanyutkan arus - sumber: Sejarah Malaysia Edisi Kedua, Mereka Bukan Penderhaka dan Pahlawan Pasir Salak.

Perjuangan orang Melayu diabadikan

PERISTIWA perjuangan orang Melayu menentang penjajahan British di Pasir Salak sehingga menyebabkan kematian Residen British, JWW Birch, terus diabadikan di bumi bersejarah itu.

Kini, Kompleks Sejarah Pasir Salak dibangunkan di wilayah yang menjadi saksi perjuangan pahlawan Melayu demi membela tanah air, bangsa dan agama daripada dicemari penjajah.

Bagi generasi muda pasca kemerdekaan, kompleks sejarah itu dibina khas untuk mengenang kembali sejarah perjuangan pahit getir pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela dalam menentang penjajahan.

Jasa mereka diabadikan menerusi pembinaan memorial khas berbentuk ‘sundang’ iaitu sejenis senjata Melayu berbentuk pedang yang digunakan dalam pembunuhan JWW Birch.

Di kompleks itu jugalah letaknya kubur JWW Birch, pusara Si Puntum, kubu Datuk Maharajalela dan meriam ‘Lela Rentaka’ yang digunakan dalam pertempuran menentang British.

Lebih 600 artifak dipamerkan seperti senjata lama, tembikar dan peralatan lama selain 42 ‘diorama’ iaitu replika patung kecil yang disusun sepanjang terowong bagi menggambarkan sejarah perjuangan orang Melayu di setiap negeri di negara kita.

Memasuki Terowong Sejarah itu tidak sekadar mengembalikan nostalgia pengunjung ke zaman silam tetapi pasti menggetarkan perasaan setiap insan yang memiliki semangat nasionalisme tinggi.

Diorama pertama menggambarkan sejarah awal penempatan orang Melayu kuno di muara Sungai Selinsing, manakala diorama ke-42 menggambarkan pembunuhan Gabenor Duncan Stewart oleh Rosli Dhobi di Sarawak.

Kompleks itu dibuka dengan rasminya oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 dengan idea penubuhannya diilhamkan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Turut berdiri kukuh ialah dua tugu iaitu tugu peringatan pahlawan Perak yang diabadikan menerusi pembinaan replika sundang atau pedang gergasi serta masjid asal yang terletak berdekatan lokasi Birch dibunuh.

Seorang pengunjung, Mior Ahmad Zubri, 39, berkata terowong itu memiliki keistimewaannya tersendiri dari segi pameran bahan yang terdapat di situ. Kedudukannya menghadap Sungai Perak seolah-olah mengimbau kembali sejarah zaman dulu ketika orang Melayu bangun menentang penjajah Inggeris.

Katanya, semangat penentangan orang Melayu terhadap penjajah adalah satu semangat yang tulen dan berani sebagaimana dibuktikan menerusi dokumen sejarah bangsa.

"Penjajah sudah tiada di tanah air kita dan orang Melayu kini bangkit sebagai bangsa yang merdeka dan mempunyai negara yang berdaulat. Kehebatan orang Melayu terletak pada pemimpin zaman modennya yang bijak berpolitik di samping mempunyai darah pejuang yang sejati," katanya.

FAKTA:
Implikasi pembunuhan Birch di Pasir Salak

# British menyerang Perak dan tercetusnya ‘Perang Perak’ dari November 1875 hingga 1876. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875 selepas bertempur hebat dengan pasukan Datuk Maharajalela, Pandak Indut dan Datuk Sagor. Dalam pertempuran itu, British membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak.

# Pada 13 Januari 1876, British menawarkan ganjaran RM6,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Datuk Maharajalela dan masing-masing RM3,000 untuk penangkapan Datuk Sagor dan Pandak Indut.

# Datuk Maharajalela dan pengikutnya menyerah diri kepada British pada 30 Julai 1876 selepas dijanji akan dibicara secara adil di mahkamah.

# Pandak Indut didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 20 Mei 1876. Pada 20 Januari 1877, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut dihukum gantung sampai mati. Pengikut lain iaitu Kulup Ali, Si Tuah, Panjang Bur dan Ngah Jabor dihukum penjara seumur hidup.

# Sultan Abdullah dan pembesar Perak lain seperti Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad dan Syahbandar Uda Mahamor dibuang ke Pulau Sychelles sementara bekas sultan terdahulu iaitu Raja Ismail, Datuk Wan dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor. Raja Yusof iaitu seorang lagi kerabat diraja, dilantik Sultan Perak yang baru. Sultan Abdullah kemudian dibenar kembali ke Kuala Kangsar pada 1922 dan mangkat di sana.

FAKTA: Isi Perjanjian Pangkor 1874

# British mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan Perak yang sah menggantikan Sultan Ismail. Sultan Ismail akan diberi gelaran lain (Sultan Muda) dan diberi pencen RM1,000 sebulan serta jajahan kecil untuk ditadbir.

# Sultan bersedia menerima seorang Residen British sebagai penasihat. Nasihat residen mesti diminta dan dipatuhi dalam semua perkara kecuali hal bersangkutan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

# Pungutan semua hasil negeri dan pelantikan dibuat atas nama sultan tetapi menerusi nasihat residen. Gaji residen dibayar sultan dan bukannya Kerajaan British.

# Semua pelantikan yang dibuat ketika pemerintahan Sultan Ismail dulu, diiktiraf.

# Kuasa yang Al-Marhum Sultan Jaafar Muazzam Shah kepada Menteri Larut iaitu Ngah Ibrahim disahkan tetapi beliau tidak lagi diiktiraf pemerintah yang merdeka sebaliknya mesti menerima seorang penolong residen untuk membantunya mentadbir Larut.

# Sempadan Pulau Dinding dan Pangkor yang diserah kepada British menerusi Perjanjian Low dipindahkan semula. Tindakan sama diambil ke atas sempadan Sungai Kerian.

petikan Berita Minggu 29 Julai 2007

Read more...

Jejak: Lebih 4,000 maut di tangan komunis

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

PKM diterajui Chin Peng jadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila



DALAM menghitung detik menuju kemerdekaan, keamanan negara diuji buat kali terakhirnya dengan kehadiran komunis ‘Bintang Tiga’ yang mencetuskan keganasan dan pembunuhan, di sebalik berlindung dalam belukar dan hutan belantara.

Ketika itu, Jepun sudah meletakkan senjata mereka dan menyerah kalah. Penjajahan Jepun di Tanah Melayu sudah tamat.

Akan tetapi tatkala tentera Kamikaze itu meninggalkan Tanah Melayu untuk pulang ke negara mereka, peperangan masih belum tamat di negara kita. Tembak-menembak masih berterusan tetapi bukan lagi menentang penjajah berbangsa asing tetapi pengganas tempatan yang digelar komunis.

Komunis mungkin boleh dianggap penjajah terakhir di negara kita tetapi berbeza dengan Portugis, Belanda, British, Siam mahupun Jepun, penjajahan komunis bukanlah didalangi tentera asing yang menceroboh untuk menakluk negara kita.

Sebaliknya, komunis menjajah negara kita dengan menanamkan ideologi cetusan Karl Marx di kalangan masyarakat tempatan terutama orang Cina di Tanah Melayu. Ia adalah ‘penjajahan minda’ yang menyebabkan penduduk setempat bangkit menentang pemerintah bagi mewujudkan sebuah negara berasaskan sistem komunisme.

Sejak dicetuskan Mark di Eropah pada pertengahan abad ke-19, ideologi komunis merebak pesat ke negara lain termasuk Russia dan China sebelum tiba di negara kita awal 1920-an. Fahaman itu terus disebarkan ejen komunis terutama apabila Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 1930.

Pelbagai propaganda dirancang bagi menarik minat masyarakat Cina kelas bawahan menyertai PKM. Usaha itu berkesan apabila kira-kira 10,000 ahli baru menyertai parti itu menjelang 1934.

Dengan keahlian yang ramai, mereka memulakan kempen penjajahan peringkat pertama dengan melakukan mogok, mensabotaj pangkalan tentera laut British, memulaukan pengangkutan, mengadakan rusuhan serta tunjuk perasaan.

Tercetusnya Perang Dunia Kedua dan penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula 8 Disember 1941 memberikan peluang kepada PKM untuk melebarkan pengaruh mereka di kalangan masyarakat Cina tempatan.

Mereka bekerjasama dengan British bagi menentang Jepun dan menubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA). Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan ketenteraan, kewangan, bekalan logistik dan perubatan dibekalkan British.

Taktik PKM berhasil apabila MPAJA dilihat sebagai antara wira yang membela Tanah Melayu ketika itu. Mereka berjaya meraih sokongan masyarakat Cina malah sepanjang tiga tahun, kekuatan tentera MPAJA dianggarkan seramai 7,000 anggota.

Bagaimanapun, niat sebenar PKM mula terbongkar apabila Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Tanah Melayu. Tempoh tiga minggu sebelum ketibaan British untuk kembali memerintah Tanah Melayu digunakan PKM menerusi MPAJA untuk cuba mengambil alih pemerintahan kerajaan.

Mereka keluar daripada hutan dan dengan menggunakan nama ‘Bintang Tiga’, mereka bertindak kejam membunuh penduduk tempatan terutama orang Melayu yang sewenang-wenangnya dituduh bersubahat menolong Jepun.

Akibatnya, orang Melayu mula bertindak-balas dan tercetusnya pergaduhan antara kaum di Muar dan Batu Pahat (Johor), Sungai Manik (Perak), Alor Gajah (Melaka), Batu Kikir (Negeri Sembilan), Raub (Pahang) dan Kota Bahru (Kelantan).

Kembalinya British pada September 1945 menyebabkan pentadbiran Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British (BMA) dan MPAJA yang ditubuhkan pada zaman perang Jepun, dibubarkan.

Pada Disember 1945, BMA mengarahkan semua anggota MPAJA menyerahkan kembali senjata kepada kerajaan. Seramai 6,800 anggota MPAJA mematuhi arahan itu dan diberi sagu hati RM350 serta satu beg beras. Gerila MPAJA yang pernah dilatih British diberi tambahan sagu hati RM30 sebulan selama tempoh tiga tahun.

Menyedari wasilah peperangan tidak akan berjaya, PKM menukar strategi untuk terus menyebarkan fahaman komunis menerusi penubuhan parti politik.

Pakatan dengan pemimpin yang berjuang atas semangat kebangsaan menyebabkan tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945. Parti itu diasaskan Ahmad Boestamam yang berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso berfahaman komunis.

Bagaimanapun, PKM mahu memastikan fahaman komunis mereka berjaya diserapkan ke dalam parti itu. Penubuhan PKMM adalah sebahagian pelan jangka panjang PKM untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu.

Justeru, PKM berusaha meletakkan ahlinya sebagai penggerak utama PKMM dan mereka berjaya pada peringkat awal menerusi pelantikan Mokhtaruddin Lasso sebagai Presiden, Arshad Ashaari (bendahari) manakala Rashid Maidin, Abdullah CD dan beberapa lagi ahli PKM sebagai ahli jawatankuasa.

Agenda awal PKM menerusi PKMM ketika itu lebih cenderung supaya Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Bagaimanapun, usaha PKM untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis menerusi pendekatan politik gagal apabila mereka diketepikan British dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

PKM menukar strategi lagi kepada pendekatan keganasan. Insiden 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak membawa kepada pengisytiharan darurat oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent.

Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diisytiharkan ke seluruh negara dan PKM serta sekutunya diharamkan pada 23 Julai 1948.

Pada peringkat awal darurat, kekuatan PKM yang diterajui Chin Peng dianggarkan berjumlah 12,500 orang. Kebanyakan komunis ini bergerak dalam hutan dan menjadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila.

Pada peringkat awal, sasaran PKM tertumpu kepada peladang British dan orang Eropah lain tetapi mereka kemudian mensasarkan pula kepada pekerja ladang dan orang awam di pinggir hutan.

Pada 1950, seramai 1,005 orang menjadi mangsa keganasan mereka menyebabkan komunis semakin dibenci masyarakat. PKM kemudian mensasarkan serangan kepada pasukan keselamatan menyebabkan 4,425 anggota keselamatan dibunuh antara 1948 hingga 1960.

Kejayaan terbesar komunis apabila mereka berjaya membunuh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 yang ketika itu dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Bagaimanapun, kejayaan PKM untuk menguasai Tanah Melayu menerusi taktik gerila tidak berpanjangan apabila British menambah anggota keselamatan dan menggempur komunis habis-habisan.

Hasilnya, jumlah anggota PKM menurun daripada 12,500 anggota ketika permulaan darurat kepada hanya 5,000 anggota saja pada 1957 iaitu setahun menjelang kemerdekaan negara.


FAKTA:
Langkah kerajaan menangani komunis

# Menambahkan kekuatan pasukan keselamatan.

# Menyekat bekalan makanan kepada komunis dalam hutan supaya mereka kebuluran dan keluar daripada hutan menerusi ‘Rancangan Briggs’. Selain makanan, sekatan turut membabitkan wang, maklumat dan bantuan daripada penduduk kepada komunis.

# Antara langkah Rancangan Briggs ialah memperkenalkan penempatan kampung baru, mengukuhkan pasukan perisikan, meletakkan kuasa tentera melebihi kuasa pentadbir awam dan membentuk pasukan kawalan keselamatan sehingga ke peringkat daerah.

# Pengisytiharan kawasan putih (bebas daripada ancaman komunis) dan kawasan hitam (sarang komunis)

# Pengisytiharan undang-undang darurat yang membabitkan pendaftaran penduduk; memperkenalkan peruntukan khas undang-undang antaranya menahan sesiapa yang disyaki tanpa had masa selain perintah berkurung; menguatkuasakan perintah buang negeri (kembali ke negara asal iaitu China atau India) dan penahanan kepada sesiapa yang disyaki berpihak kepada komunis; melancarkan perang psikologi bagi mendapatkan kerjasama rakyat memerangi komunis dan menawarkan pengampunan kepada komunis.

# Memperbaiki politik dan pentadbiran kerajaan bagi mewujudkan sebuah negara merdeka.

Perjanjian Haadyai penamat

AWAL Jun 1955, Kerajaan British di Tanah Melayu menerima sepucuk surat daripada wakil ‘Ibu Pejabat Pemerintah Tertinggi Tentera Pembebasan Malaya’ yang dihantar dari Haadyai, selatan Thailand.

Surat itu ditandatangani oleh seseorang yang dikenali sebagai Ng Heng tetapi kemudian didapati nama itu adalah samaran kepada Chin Peng, peneraju Parti Komunis Malaya (PKM).

Dalam surat itu, Chin Peng menyatakan PKM bersedia berunding dengan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi menamatkan darurat dan memulihkan keamanan di Tanah Melayu.

Surat berkenaan secara tidak langsung menggambarkan tanda positif mengenai usaha mencapai keamanan di Tanah Melayu.

Pada 9 September 1955, Tunku Abdul Rahman menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada Chin Peng dan semua pengganas komunis. Tawaran dibuat dengan menggugurkan 40 juta risalah pengumuman daripada kapal terbang ke hutan belantara yang menjadi lokasi persembunyian komunis.

Risalah itu menyatakan bahawa sesiapa di kalangan anggota komunis yang ingin menyerah diri tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan. Bekas komunis yang ingin menetap di tanah air dan tunduk setia kepada negara akan dibenarkan berbuat demikian manakala mereka yang ingin terus mengamalkan ideologi komunis dibenarkan kembali ke China.

Bersama risalah pengumuman itu, turut digugurkan daripada kapal terbang adalah 12 juta pas pengampunan yang dicetak dalam tiga bahasa iaitu Cina, Melayu dan Tamil.

Risalah itu berbunyi: “Pemegang pas ini ingin menerima peraturan pengampunan am dan diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan. Tunjuk arah telah diberi kepada semua anggota pasukan keselamatan, polis, tentera dan pegawai kerajaan supaya memberi layanan baik kepada pemegang pas ini. Mereka akan bertanggungjawab melaksanakan tunjuk arah ini.”

Tiga minggu selepas tawaran pengampunan itu dibuat, Chin Peng mengutuskan jawapan balas menerusi satu lagi surat yang meminta gencatan senjata diadakan dan disusuli rundingan menamatkan darurat.

Seterusnya Rundingan Baling yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955, menjadi titik pertemuan dan rundingan antara kedua-dua pihak. Pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diwakili Tunku Abdul Rahman, David Marshall dan Tan Cheng Lock manakala PKM diwakili Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Bagaimanapun, rundingan dua hari itu gagal mencapai kata putus apabila Chin Peng enggan menerima pengampunan tanpa syarat yang ditawarkan kerajaan sebaliknya meminta PKM dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Permintaan Chin Peng itu ditolak kerajaan.

Melewati masa, Tanah Melayu kemudian mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 iaitu ketika darurat masih lagi berkuat kuasa dan komunis masih berkeliaran dalam hutan negara. Chin Peng sekali lagi mengutus surat meminta rundingan diadakan tetapi kali ini, ia tidak lagi dilayan kerajaan.

Menjelang 1960, usaha kerajaan secara giat untuk membanteras komunis menyebabkan kegiatan PKM semakin lumpuh. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan selepas ancaman komunis semakin berkurangan dan saki baki pengganas itu berundur ke sempadan Tanah Melayu-Thailand.

Menyedari usaha mereka tidak lagi membuahkan sebarang hasil, pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) ditandatangani antara PKM dengan Kerajaan Malaysia.

Perjanjian bersejarah itu sekali gus menamatkan perjuangan bersenjata PKM selama 41 tahun untuk menjajah negara kita. Mereka akhirnya mengembalikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang negara - sumber www.wikipedia.com dan Sejarah Malaysia Edisi Kedua 2003.

FAKTA NOMBOR:
Rekod penentangan komunis pada zaman darurat

# 12 tahun - Tempoh darurat

# 6,398 komunis - Dibunuh

# 1,245 komunis - Ditahan

# 1,938 komunis - Menyerah diri.

petikan Berita Minggu 22 Julai 2007

Read more...

Kamikaze calar ego British

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)
petikan Berita Minggu 8 Julai 2007

Tentera Jepun berbasikal paksa askar Punjabi, Inggeris berundur


“ASKAR Jepun menyerang! Askar Jepun menyerang!” jeritan lantang seorang askar Punjabi yang menjadi pengawal British di Pantai Padang Pak Amat, Kelantan menyebabkan penduduk kampung di sepanjang pantai itu panik dan kelam-kabut berlari menyelamatkan diri.

Beberapa saat kemudian, pengawal pantai mendengar peluru meriam berterbangan di atas kepala mereka. Askar upahan British itu mula sedar yang peperangan antara Jepun dengan British di negara ini sudah bermula, Jepun datang untuk menjajah Tanah Melayu.

Sebaik tiba di gigi pantai, segerombolan askar Jepun meluru sambil melepaskan tembakan, tanpa menyedari yang banyak jerangkap samar sudah ditanam di sekitar pantai itu. Kegelojohan memulakan serangan menyebabkan sekelip mata saja nyawa askar asing itu melayang terpijak jerangkap samar.

Bagaimanapun, dengan semangat juang ‘kamikaze’, askar Jepun terus mengasak askar Punjabi dan penduduk kampung sehingga mereka berjaya menakluk kawasan berkenaan.

Ketika askar Punjabi di ambang kekalahan, mereka meminta bantuan batalion tentera British yang berkubu di Pangkalan Chepa. Bantuan yang diminta segera dikerahkan ke kawasan itu sehingga berlaku pertempuran terbuka sehingga mengorbankan ramai mangsa, termasuk askar Jepun, British dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, peperangan sengit berakhir dengan kemenangan kepada Jepun.

Seterusnya dari kawasan pantai itu, tentera Jepun membina angkatan yang kuat dengan berbekalkan strategi terancang serta slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’ bagi menarik sokongan penduduk tempatan.

Bangsa yang mula mengenal erti kemajuan di bawah pemerintahan Maharaja Meiji itu terus mara ke pusat pentadbiran British di Kota Bharu dengan menunggang basikal dan mereka berjaya menguasai bandar berkenaan dalam masa sehari.

Semangat untuk menjulang nama bangsa, negara dan keperluan sumber ekonomi sebagai bahan mentah industri pekilangan mendorong tentera Jepun semakin agresif sehingga menawan seluruh Kelantan selepas 10 hari Jepun mendarat di Tanah Melayu.

Maruah tentera British yang sebelum itu mendabik dada mengaku kononnya mereka bangsa hebat dan berpengaruh serta memiliki kekuatan tentera, tercalar teruk diperlakukan Jepun sepanjang tempoh itu.

Dalam tempoh 10 hari itu juga, Jepun yang dikenali sebagai Nippon mula melebarkan jajahannya. Selain Kelantan, mereka menyeberang sempadan Thailand-Tanah Malaya untuk masuk ke Kedah dan Perak.

Mereka berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani, Butterworth dan Alor Star pada 9 Disember 1941 dan pada hari seterusnya, pesawat Jepun menyerang dan menenggelamkan kapal tempur British HMS Prince of Wales dan HMS Repulse di perairan Pahang.

Jitra dan Alor Star dikuasai Jepun pada 12 Disember dan empat hari kemudian, British yang berpangkalan di Pulau Pinang melarikan diri meninggalkan pulau itu selepas menghadapi kebangkitan Jepun yang mengebom pangkalan berkenaan hampir setiap hari.

Senjata, bot, bekalan dan alat penghubungan radio ditinggalkan begitu saja dalam tergesa-gesa dan akhirnya jatuh ke tangan tentera Jepun. Nippon terus membawa masuk tambahan kereta kebal, pesawat dan kelengkapan perang bagi mempergiatkan serangan untuk menduduki Tanah Melayu.

Tentera Jepun mara ke selatan dan menawan Ipoh pada 26 Disember. Penentangan sengit terhadap kemaraan Jepun tercetus dalam Pertempuran Kampar yang berlangsung selama tiga hari tiga malam sebelum Jepun beroleh kemenangan pada 2 Januari 1942.

Pada 7 Januari 1942, dua pasukan Briged India Tentera British dipintas dalam Pertempuran Slim River yang memberi tentera Jepun laluan mudah ke Kuala Lumpur yang menjadi ibu negara Tanah Melayu.

Pada 9 Januari, kedudukan British semakin terdesak dan Komander Jeneral Wavell memutuskan untuk mengundurkan keseluruhan Tentera British dari Kuala Lumpur ke utara Johor. Kesempatan itu menyebabkan Jepun masuk dan menduduki Kuala Lumpur dengan mudah tanpa tentangan pada 11 Januari.

Askar Jepun terus mara dalam asakan hebat daripada meriam dan tembakan senjata api tentera British dan tentera bantuan dari Australia.

Pertempuran sengit dengan tentera Australia di Jambatan Gemencheh pada 14 Januari menyebabkan Jepun mengalami kekalahan taktikal buat kali pertamanya dan ia memberi tamparan hebat kepada Jepun kerana mengorbankan 600 askarnya.

Kalah dalam pertempuran di Gemencheh, Jepun semakin mengganas dalam pertempuran lain. Pertempuran sengit di Parit Sulong selama empat hari menyebabkan tentera Australia dan askar upahan British kalah teruk.

Melihat jumlah yang mati dan tercedera meningkat, Leftenan Kolonel Anderson yang mengetuai Pasukan Muar mengarahkan setiap orang bawahannya ‘menyelamatkan diri masing-masing’.

Mereka melarikan diri merentas hutan, paya dan ladang getah manakala mereka yang tercedera ditinggalkan. Seramai 133 askar disiksa dengan kejam dan sadis oleh tentera Jepun.

Pertempuran kamikaze oleh tentera Jepun menyebabkan British dan sekutunya diasak sehingga ke penghujung jalan. British mula menyedari yang mereka tiada lagi peluang untuk menang dan akhirnya mengarahkan pengunduran umum pihaknya menyeberangi Selat Johor ke Singapura. Menjelang 31 Januari 1942 iaitu selepas 55 hari, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun.

Pada 15 Februari 1942, pemerintah tentera British di Tanah Melayu, Leftenan Jeneral Arthur Ernest Percival bersama-sama 60,000 tentera British menyerah diri secara rasmi kepada Pemerintah Tentera Jepun, Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di Ford Plant Bukit Timah, Singapura.

Pengumuman kekalahan British itu menyebabkan bermula era penjajahan Jepun di negara kita.

Hidup sengsara di zaman Jepun

JEPUN menjajah Tanah Melayu selama hampir empat tahun dan sepanjang tempoh itu penduduk merasai kekejaman askar penjajah itu yang tidak teragak-agak untuk menyeksa dan membunuh sesiapa saja yang menentang mereka.

Penduduk mula merasai peritnya hidup di bawah pemerintahan kuku besi Jepun yang lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan berbanding British. Mereka diperlakukan bagai hamba abdi dan haiwan, jika masih hidup.

Askar Jepun pimpinan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita yang digelar ‘Harimau Malaya’ dikatakan gemar melakukan ‘upacara’ memotong kepala dan penyembelihan beramai-ramai terhadap rakyat tidak berdosa.

Malah, di Kampung Parit Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, lebih 800 orang dibunuh dalam masa dua hari dengan pelbagai cara tidak berperikemanusiaan. Ada yang diseksa di hadapan ayah, ibu, anak-anak, isteri atau suami masing-masing.

Penduduk ditikam dengan bayonet, dipaksa minum air sabun, dicampak ke dalam perigi dan paling menyayat hati, seorang ibu hamil dilapah perut sehingga kaki bayi dikandungnya terjulur keluar.

Rakyat benar-benar sengsara dan hidup dalam ketakutan sepanjang penjajahan British. Ekonomi di Tanah Melayu merosot seterusnya lumpuh sepanjang pentadbiran tentera yang diamalkan Jepun di negara ini.

Jepun memperkenalkan mata wang mereka untuk digunakan di Tanah Melayu tetapi pengeluarannya yang tidak terkawal menyebabkan nilai mata wang itu rendah manakala harga barang makanan menjadi mahal.

Pengeluaran barang utama juga dikawal dan permit dikenakan untuk sebarang jenis pengangkutan dan perdagangan. Harta benda penduduk dirampas. Catuan makanan diwujudkan dengan penduduk perlu mendapatkan kupon untuk membeli beras. Setiap keluarga dibenarkan mendapat kira-kira tujuh kilogram beras saja sebulan menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain antaranya ubi kayu sebagai makanan.

Penduduk juga dipaksa bekerja untuk kepentingan Jepun. Mereka dipaksa memanjat pokok kelapa untuk memetik buahnya, menjadi buruh binaan dalam pelbagai projek antaranya pembinaan Jalan Kereta Api Maut sepanjang 415 kilometer dari Thailand ke Myanmar.

Sepanjang tempoh 1942 hingga 1946, sebanyak 72,000 penduduk menjadi buruh paksa bagi membina landasan itu, namun hanya kira-kira 30,000 orang saja selamat pulang manakala selebihnya hilang dipercayai mati.

Jepun juga menubuhkan pelbagai pasukan bagi merekrut penduduk tempatan menjadi sekutu atau bekerja dengan mereka antaranya Pasukan Khas Tempatan (Giyugun), Pasukan Pertahanan Awam (Jikeidan) dan Pasukan Sukarelawan Tambahan (Heiho).

Pendidikan Jepun diperkenalkan bagi memastikan budaya Nippon diamalkan penduduk dan budaya Inggeris yang diperkenalkan British sebelum itu dihapuskan. Penduduk diajar menyanyikan lagu kebangsaan Jepun iaitu Kimigayo, menundukkan kepala apabila bertemu dan mempelajari bahasa Jepun. Penggunaan Bahasa Inggeris pula diharamkan.

Penjajahan dan penindasan Jepun menyebabkan terdapat beberapa penduduk bangkit menentang terutama secara gerila. Orang Cina paling dahsyat ditindas berikutan permusuhan tradisi Jepun dengan China. Penindasan itu menyebabkan beribu penduduk Cina melarikan diri ke pinggir hutan, seterusnya hasutan Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan penduduk Cina itu menubuhkan Malayan People’s Anti Japaness Army (MPAJA).

Orang Melayu pula menyertai askar gerila Melayu iaitu Force 136 yang ditubuhkan British bagi mengumpulkan penduduk tempatan untuk menentang penjajah itu.

Pagi 6 Ogos 1945, pesawat Superfotress Amerika Syarikat terbang memasuki ruang udara Jepun. Sebaik mendapati sasaran dan masa yang ditunggu sesuai, juruterbang menggugurkan bom atom di Hiroshima, sebagai serangan balas terhadap pangkalan Pearl Harbour yang dilakukan Jepun pada 8 Disember 1941.

Letupan atomik menggegarkan bumi wilayah Jepun itu pada hari berkenaan. Api yang teramat panas membakar bandar Hiroshima dan merentungkan penduduknya. Kegemparan kemusnahan Hiroshima masih belum reda apabila bom atom kedua, digugurkan ke Nagasaki, tiga hari kemudian.

Kemusnahan besar yang dialami di negara mereka menyebabkan pihak Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua kepada Tentera Berikat. Seterusnya pada 12 September 1945, tentera Jepun di Tanah Melayu menyerah diri sebagai tanda berakhirnya penjajahan kuasa itu di negara kita.

FAKTA:
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu


# Jepun bersama Nazi Jerman, Austria dan Itali membentuk Kuasa Paksi menentang Kuasa Berikat (Britain, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat) dalam Perang Dunia Kedua (1 September 1939 hingga 2 September 1945).

# Penjajahan di Asia Tenggara meliputi Tanah Melayu, Borneo dan Kepulauan Indonesia dilakukan Jepun bagi membentuk ‘Pemerintahan Baru Asia Timur Raya’.

# Tanah Melayu digelar Jepun sebagai ‘New Malai’ (Malaya Baru) manakala Singapura digelar Syonan (Cahaya Timur).

# Pada Ogos 1943, Jepun menyerahkan Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan kepada Kerajaan Siam sebagai membalas budi Siam membantu mereka dalam kempen menawan Tanah Melayu.

# Tentera British di Tanah Melayu tersilap percaturan apabila menjangka Jepun akan menyerang dari Singapura dan bukannya Siam.

Read more...

Jejak: Raffles dalang sebenar bangsa Melayu dijajah

Oleh Nasron Sira Rahim

Ketidakstabilan politik, perebutan kuasa dan takhta, antara kunci utama British campur tangan

BERBANDING penjajahan Portugis dan Belanda, British adalah antara kuasa penjajah yang paling banyak meninggalkan kesan dan warisan budaya asing terhadap tanah air kita.

Malah, tatkala sejarah menunjukkan Portugis hanya menjajah Melaka manakala Belanda melebarkan pengaruhnya di Melaka, Perak dan beberapa beberapa negeri lain, British menjajah seluruh Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak.

Bermula dengan merampas Pulau Pinang dari Kedah pada 1786, penjajah asing itu kemudian mengasaskan zaman kolonial selama kira-kira 170 tahun sehingga meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu.

Sejarah panjang penjajahan penuh berliku itu bermula dengan kemunculan kapal laut British yang berlabuh di Tanah Melayu pada abad ke-18. Mereka pada mulanya mengangkat sauh dan belayar jauh meninggalkan bumi England untuk mencari peluang perdagangan dan meluaskan tanah jajahan.

Kempen menjajah tanah asing bagi meluaskan jajahan Kerajaan Inggeris itu sudah lama dirancang bangsa asing terbabit iaitu sejak 1600 apabila mereka menubuhkan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI).

Mereka kemudian mula belayar dan sentiasa mengintai peluang menjajah tanah asing. Melewati masa, SHTI berjaya bertapak di India dan bermula dari situ, mereka meneruskan pelayaran sehingga tiba di Kedah.

Kedudukan Pulau Pinang yang strategik untuk dijadikan pangkalan tentera, pusat pengumpulan barang dagangan serta pelabuhan persinggahan, menarik minat SHTI untuk menduduki pulau itu. Peluang itu tiba apabila Kedah menawarkan Pulau Pinang kepada SHTI dengan syarat British perlu memberi bantuan ketenteraan apabila Kedah diserang Siam.

Kapten SHTI, Francis Light dan Sultan Kedah, Sultan Abdullah kemudian menandatangani Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 tetapi SHTI tidak mengotakan janji mereka apabila Kedah diserang. Sebaliknya British terus menduduki Pulau Pinang secara haram.

Serangan demi serangan dilancarkan Kedah bagi membebaskan tanah watan mereka yang dirampas British, gagal dan akhirnya pendudukan penjajah itu di Pulau Pinang diiktiraf Siam menerusi Perjanjian Burney 1826.

Selepas menduduki Pulau Pinang, British ingin menduduki Singapura pula berikutan mereka beranggapan pulau itu lebih sesuai dijadikan pelabuhan. Kesempatan itu muncul apabila wakil SHTI, Stamford Raffles mendapati berlaku perebutan kuasa dalam Kerajaan Johor.

Raffles tiba di Singapura pada 12 Januari 1819 dan memaksa Temenggung Abdul Rahman menandatangani perjanjian membenarkan SHTI membina loji di pulau itu. Temenggung Abdul Rahman terpaksa menandatangani perjanjian itu kerana khuatir diserang angkatan perang Raffles.

Bagi menjayakan rancangannya menjajah Singapura, Raffles menjadi batu api dengan memperalat kekanda Sultan Johor, Tunku Hussein yang gagal ditabal sebagai Sultan Johor untuk kembali merampas kuasa.

Ketibaan Raffles di SingapuraDi bawah sokongan British, Tunku Hussein dilantik menjadi Sultan menyebabkan Johor ketika itu memiliki dua Sultan iaitu Sultan Hussein yang bersemayam di Singapura dan Sultan Abdul Rahman yang bersemayam di Lingga.

British kemudian semakin ‘besar kepala’ dan menggunakan pengaruh serta kuasa ketenteraan, mereka memaksa Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman menandatangani satu lagi perjanjian pada Februari 1819 yang antara syaratnya ialah Singapura diserahkan kepada SHTI buat selama-lamanya.

Pada 1824, Perjanjian London dimeterai antara British dengan Belanda di mana British memberi Bangkahulu di Sumatera kepada Belanda manakala Melaka yang dijajah Belanda ketika itu, diserahkan kepada British sebagai pertukaran.

Dua tahun kemudian, British menggabungkan Pulau Pinang, Singapura dan Melaka menjadi Negeri-negeri Selat (NNS) bagi menyeragamkan pentadbiran dan menjimatkan perbelanjaan.

Kekayaan hasil bumi di Tanah Melayu terutama bijih timah, emas, bijih besi dan arang batu mula menarik minat British untuk meneruskan penjajahan mereka bagi merampas sumber kekayaan itu daripada negeri Melayu.

Revolusi Perindustrian yang tercetus di England pada akhir abad ke-18 menyebabkan British mula merangka strategi menguasai Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi mendapatkan bijih timah dan hasil bumi lain.

Lalu pada 1874, ‘dasar campur tangan British di negeri Melayu’ diperkenalkan bagi membolehkan bangsa asing itu membabitkan diri dalam urusan pentadbiran negeri Melayu menerusi Sistem Residen dan Penasihat British.

Keadaan politik tidak stabil, perebutan kuasa dan takhta, pergaduhan kongsi gelap Cina selain kekecohan dan perang saudara di beberapa negeri Melayu menjadi kunci untuk British campur tangan seterusnya memaksa Sultan Melayu menerima naungan British.

Kehadiran residen dan penasihat British yang kebanyakannya bertindak mencampuri pemerintahan, menggubal pelbagai peraturan dan cukai yang menekan penduduk selain tidak menghormati adat resam penduduk, menyebabkan timbulnya kebangkitan menentang penjajah.

Beberapa pahlawan Melayu dan anak watan bangkit tanpa gentar menentang British. Antaranya Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Indut dan Sepuntum membunuh Residen British JWW Birch di Pasir Salak, Perak pada 1875.

Tentangan turut diberikan Yamtuan Antah di Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 1875; Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang (1894); Mat Salleh di Sabah (1897); Tok Janggut di Pasir Puteh, Kelantan (1915) dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu (1928).


> Tanah Melayu merdeka selepas 446 tahun

KEDUDUKAN British di Tanah Melayu mula tergugat apabila angkatan perang Jepun mula mendarat di Kota Bharu, Kelantan dan Alor Star, Kedah pada 8 Disember 1941. Sebaik mendarat, Jepun memulakan serangan bagi mengusir British dan menjajah Tanah Melayu.

Tentera Jepun menenggelamkan dua kapal perang British, Repulse dan Prince of Wales di perairan Kuantan dan serangan demi serangan menyebabkan British tidak dapat bertahan dan terpaksa berundur kembali ke India.

Selama kira-kira empat tahun, Tanah Melayu dijajah Jepun sehinggalah pihak itu menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Pengunduran Jepun menyebabkan British kembali ke Tanah Melayu pada September tahun sama.

Ketika tempoh penjajahan Jepun di Tanah Melayu, Kerajaan British di England merancang menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu di bawah satu kerajaan yang digelar ‘Malayan Union’.

Harold Mac Michael kemudian diutus mengetuai perwakilan British ke Tanah Melayu untuk memperoleh tandatangan Sultan semua negeri Melayu bagi membentuk perjanjian baru yang akan mewujudkan Malayan Union.

Mac Michael memaksakan Sultan menerima cadangan British dan Sultan yang enggan menandatangani perjanjian diugut akan diganti atas tuduhan bersubahat dengan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

British kemudian mendedahkan rancangan penubuhan Malayan Union pada Januari 1946. Bagaimanapun, cadangan penubuhan Malayan Union ditentang penduduk yang percaya bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan British kepada negeri jajahan British.

Tentangan tidak saja diberikan orang Melayu tetapi juga Cina, India dan segelintir pesara British yang pernah bertugas di Tanah Melayu. Tentangan hebat dan pemulauan terhadap sistem itu akhirnya menyebabkan Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946, dimansuhkan.

Pemansuhan Malayan Union menyebabkan British terpaksa melantik satu jawatankuasa bagi menggubal satu perlembagaan baru di Tanah Melayu dan pada 1 Februari 1948, ‘Persekutuan Tanah Melayu’ diisytihar.

Sejak itu, bermulalah usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu. Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengetuai ‘Rombongan Kemerdekaan’ ke London untuk berunding dengan Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.

Hasil rundingan itu, Perjanjian London 1956 ditandatangani dan British berjanji memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Seterusnya pada hari dijanjikan, bendera British diturun di Kuala Lumpur dan Tunku Abdul Rahman mengetuai orang ramai melaungkan, “Merdeka!” berulang kali. Detik bersejarah itu sekali gus menandakan yang selepas 446 tahun dijajah, hari itu, buat pertama kalinya tanah air kita bebas daripada penjajahan bangsa asing.


FAKTA: Penjajahan British

# 1786: British menjajah Pulau Pinang

# 1819: British menjajah Singapura

# 1824: Perjanjian London dimeterai menyebabkan Belanda menyerahkan Melaka kepada British.

# 1826: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura disatukan menjadi Negeri-negeri Selat.

# 1867: Negeri-Negeri Selat dipindahkan daripada penguasaan SHTI kepada penguasaan Pejabat Kolonial di London.

# 1873: Sir Andrew Clarke dihantar ke Singapura untuk menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat.

# 1874: SHTI dibubarkan. Dasar campur tangan British di negeri Melayu diperkenalkan bagi membolehkan British mencampuri urusan pentadbiran negeri Melayu menerusi Sistem Residen dan Penasihat British. Berlakunya kebangkitan menentang British oleh penduduk setempat.

# 1883: Eksploitasi British terhadap hasil bumi menyebabkan Tanah Melayu menjadi pengeluar terbesar bijih timah di dunia.

# 1885: Jalan kereta api dibina menghubungkan Port Weld (kini Kuala Sepetang) dengan Taiping bagi memudahkan pengeksportan timah.

# 1895: British menggabungkan Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi ‘Negeri-negeri Melayu Bersekutu’.

# 1900: Tanah Melayu mengeluarkan 55 peratus pengeluaran timah dunia.

# 1904: Johor menjadi negeri Melayu terakhir yang terpaksa tunduk kepada tekanan untuk menerima Penasihat British.

# 1909: Perjanjian Bangkok dimeterai bagi membolehkan British menguasai negeri Melayu di Utara dari Siam.

# 1941: Tentera Jepun mendarat di Kelantan dan Kedah dan menentang British bagi menjajah Tanah Melayu.

# 1945: Jepun berundur dari Tanah Melayu dan British kembali menjajah.

# 1946: British merancang menggabungkan negeri Melayu di bawah satu kerajaan baru digelar ‘Malayan Union’ tetapi ditentang penduduk.

# 1948: Persekutuan Tanah Melayu diisytihar bagi menggantikan Malayan Union. Komunis menyerang dan memberontak selama 14 hari. British mengisytiharkan darurat.

# 1956: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengetuai ‘Rombongan Kemerdekaan’ ke London untuk berunding dengan Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.

# 1957: Negara beroleh kemerdekaan

petikan Berita Minggu 1 Julai 2007

LINK TAMBAHAN
Singapore from den of pirates to port city

Read more...

  © Blogger template Merdeka by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP