Ontoros berjuang tentang penindasan

Oleh Nasron Sira Rahim

KETIKA British menjajah Sabah pada penghujung abad ke-19, bangsa asing itu memperlakukan penduduk watan yang terdiri daripada kaum Murut seumpama ‘hamba abdi’. Penduduk ditangkap dan dijadikan buruh paksa bagi membina laluan pedalaman selain memasang kawat telegraf antara Tenom dan Rundum.

Lebih kejam, British mensyaratkan pasangan suami isteri kaum Murut tidak boleh tinggal bersama. Suami dan isteri dipaksa tinggal berasingan dan dipisahkan aliran sungai. Setiap kali suami atau isteri ingin berjumpa, mereka dipaksa membayar satu dolar kepada British.

Tanpa berperikemanusiaan, British menetapkan jika suami isteri kaum Murut memiliki dua anak, mereka akan mengambil seorang daripada anak itu untuk dijadikan buruh paksa.

Bangsa asing itu juga semakin biadap apabila tidak menghiraukan adat dan kepercayaan penduduk pribumi itu. Mereka menceroboh kawasan hutan bagi membina jalan walaupun bagi penduduk Murut, perbuatan itu dianggap mengganggu roh nenek moyang mereka.

Ironinya, British sesuka hati menceroboh kawasan hutan tetapi mereka melarang penduduk Murut membuka tanah baru bagi tujuan pertanian. Larangan itu menyebabkan penduduk kesusahan kerana mereka kekurangan beras sebagai sumber makanan.

British semakin menindas kaum Murut apabila mengenakan pelbagai cukai yang ‘pelik’ serta membebankan. Mereka seolah-olah menganggap semua benda yang berada di bumi Sabah itu milik mereka dan walaupun mereka sebenarnya sekadar pendatang asing.


Penduduk watan yang sudah lama mendiami kawasan itu pula sebaliknya dipaksa membayar kepada British untuk menduduki dan mengusahakan hutan bagi mendapat makanan.

British mengenakan cukai kepala dengan bayaran satu dolar setiap seorang, cukai tanaman pindah sebanyak 50 sen setiap 0.4 hektar, cukai pohon kelapa untuk dijadikan tuak (25 sen sepohon) dan cukai tangkapan ikan besar dan memelihara anjing (satu dolar seekor).

Hakikatnya, kemerdekaan kaum Murut diragut British malah maruah mereka juga dipermain-mainkan.

Penganiayaan dan kekejaman berterusan yang dilakukan British terhadap penduduk Murut menyebabkan seorang anak watan bangkit untuk menentang. Beliau tidak sanggup lagi melihat kaumnya dianiaya dan diperlakukan bagai hamba abdi oleh bangsa asing, lebih-lebih lagi di tanah air mereka sendiri.

Ontoros Antanom mula mengumpulkan kaumnya untuk bersama-sama berjuang membela bangsa dan tanah air mereka. Beliau ingin meneruskan perjuangan dua pahlawan Murut, Linggam dan Melayak yang dibunuh British selepas bangun menentang bangsa asing itu pada 1909.

Akhirnya, Ontoros Antanom berjaya mengumpulkan kira-kira 900 pahlawan Murut dari beberapa kawasan termasuk Tenom, Keningau dan Pensiangan bagi menggerakkan penentangan terhadap British.

Dua tahun pertama perancangan mereka iaitu dari 1913 hingga 1915, didahului dengan pembinaan kubu pertahanan. Kubu di Selangit dibina sebagai kubu induk atau ‘Silar Pinikit’ yang menempatkan tujuh rumah di bawah tanah. Beberapa kubu lain terletak di Menining, hulu sungai Telokoson, Kubu Liohon, Kubu Impal dan Kubu Salang.

Sebaik siap dan bersedia, mereka mula mensasarkan serangan di Pensiangan pada Februari 1915. Amukan pahlawan Murut menyebabkan pegawai dan askar British kecut perut dan ‘menggigil’ ketakutan. Bangunan milik pentadbiran British yang terdapat di kawasan itu dibakar dan dimusnahkan.

Kemenangan menerusi serangan pertama menyebabkan Ontoros Antanom mula mensasarkan serangan ke penempatan British yang lebih besar. Seterusnya kira-kira sebulan selepas itu iaitu pada Mac 1915, seramai 600 pahlawan Murut menyerang Rundum.

Walaupun British menggunakan senjata api dan pahlawan Murut hanya bersenjatakan sumpit, tombak dan pedang, bangsa asing itu nyata gagal menyekat serangan berkenaan menyebabkan segala kepentingan mereka di kawasan itu musnah.

Kejayaan itu menaikkan semangat kaum Murut untuk kembali mempertahankan hak dan maruah mereka serta mengusir penjajah itu dari bumi Sabah.

Kehebatan Ontoros Antanom dan gelombang kebangkitan pahlawan tempatan menyebabkan British gentar ketakutan. Mereka mula merancang untuk menyerang balas bagi menghapuskan pahlawan tempatan yang menentang mereka.

April 1915, British menghantar 400 tenteranya untuk menyerang dan memusnahkan kubu Ontoros Antanom di Selangit. Bagaimanapun, usaha British itu tidak mudah dilakukan. British terus menggempur tetapi kubu pahlawan itu tetap tidak dapat ditawan.

Pahlawan Murut menyerang balas habis-habisan walaupun 400 penduduk mereka termasuk wanita dan kanak-kanak sudah terkorban dibunuh askar berbangsa asing itu. Pertempuran itu berlarutan sehingga enam minggu.

Tertekan kerana masih belum dapat mengalahkan kumpulan pahlawan Murut itu, akhirnya British dikatakan memasang helah dan taktik kotor - mereka memperdaya pahlawan Murut dengan alasan mahu berdamai dengan kaum Murut dan gencatan senjata akan dilakukan.

British meminta proses perdamaian itu dilakukan di Rundum yang terletak kira-kira enam hari perjalanan dari Selangit. Ontoros Antanum dan pengikutnya yang menyangka British ikhlas mahu berdamai, menghentikan serangan manakala pasukan British berundur.

Ontoros Antanom dan pasukannya kemudian bergerak menuju Rundum untuk berunding mengenai perdamaian seperti dijanjikan British.

Ketika itulah British mula menunjukkan niat jahat dan pembohongan mereka. Selepas empat hari pahlawan Murut itu meneruskan perjalanan, ratusan askar British akhirnya mengepung dan menahan mereka.

Ontoros Antanom dan pengikutnya kemudian dibawa ke Rundum dan British cuba membunuh pahlawan itu dengan cara menembak dan membakarnya, tetapi usaha itu tidak berhasil lantaran ilmu kebal yang dimilikinya.

British kemudian mengancam untuk membunuh semua pengikutnya menyebabkan Ontoros Antanom akhirnya terpaksa memberitahu yang rahsia kekuatan dan kekebalannya terletak pada tali pengikat tangan dan kakinya.

Selepas mengetahui rahsia itu, British mula mencederakan pahlawan itu dan akhirnya kepala Ontoros Antanom dipancung dengan kejam.

British kemudian menangkap beberapa pengikut Ontoros Antanom dan lapan daripada pengikut kanan pahlawan itu dihukum buang daerah ke Kudat manakala tahanan lain dikerah menjadi buruh paksa untuk memasang kawat telegraf dari Kimanis ke Keningau.

Kematian pahlawan mereka, Ontoros Antanom bagaimanapun tidak menamatkan kebencian kaum Murut terhadap bangsa asing dan penjajah itu. Kaum Murut bagaimanapun tidak lagi menentang menggunakan senjata. Bagi menunjukkan protes terhadap British, mereka berpindah ke pedalaman Kalimantan, kawasan yang jauh daripada gangguan bangsa asing itu.


British perangkap pahlawan kaum Murut

SELURUH kehidupannya, Ontoros Antanom dibesarkan di kawasan yang dikelilingi hutan belantara yang penuh dengan flora dan fauna di bumi Sabah.

Hutan belantara tebal yang memenuhi daerah kelahirannya menjadi ‘taman permainan’ tokoh terbabit dan pahlawan itu dikatakan memiliki kuasa sakti yang menakjubkan termasuk mampu berkomunikasi dengan binatang liar dan menjinakkan haiwan itu selain kuat dan kebal.

Pahlawan Murut itu hanyalah seorang pemuda yang berusia kira-kira 30 tahun ketika beliau memimpin sepasukan pahlawan kaumnya menentang penindasan British pada 1915. Pada usia semuda itu, beliau sudah sanggup memikul tugas besar dan menggadaikan nyawanya demi mempertahankan bangsa dan tanah air tercinta.

Ontoros Antanom dilahirkan di kawasan Masinpunon di sungai Salarom pada 1885 dan beliau berasal daripada keturunan suku Murut Tagol iaitu golongan atasan mengikut adat istiadat kaum Murut.

Meniti dewasa, beliau membesar dalam zaman yang penuh persengketaan dan mencabar. Ketika itu, daerah perkampungannya dilanda persengketaan kaum dan diancam ‘pemburu kepala’ yang terdiri daripada kaum Dayak.

Berlatarbelakangkan zaman penuh pergolakan, pertelingkahan dan mencemaskan, Ontoros Antanom dibesarkan sebagai seorang ‘kalawon’ atau pahlawan yang gagah dan berani. Jiwanya sudah diasuh supaya sentiasa sedia berkorban demi melindungi keluarga dan kaumnya.

Tokoh itu dididik mengenal seluruh prinsip kehidupan di rimba dan dilatih supaya tangkas bermain senjata. Beliau juga dikatakan pernah berguru dengan Paduka Mat Salleh, seorang lagi pahlawan agung Sabah yang gugur menentang British di Tambunan.

Ontoros Antanom digambarkan berbadan tegap, berambut panjang, lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak di tangan dan senjata Pailang tersisip di pinggang. Beliau kelihatan gagah dan menggerunkan musuhnya.

Sikapnya tegas serta tenang ketika menghadapi bahaya. Beliau memiliki keazaman yang kuat sehinggakan apabila dia memutuskan sesuatu, kata itu akan dikotakan tanpa teragak-agak.

Ontoros Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang British tetapi kewibawaan sebagai pemimpin menyebabkan beliau mampu menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan.

Keazaman dan keberaniannya menyebabkan Ontoros Antanom sanggup mati pada usia muda. Tokoh itu akhirnya maut terbunuh dalam perjuangan sucinya demi membela tanah air dan maruah kaumnya daripada dipermain-mainkan British.

Ontoros Antanom, namanya menjadi legenda kepahlawanan kaum Murut khususnya dan masyarakat Sabah umumnya. Perjuangannya menyebabkan beliau disanjung sehingga kini serta diiktiraf sebagai seorang daripada tokoh pahlawan negara yang menentang penjajahan terhadap tanah air kita.


# sumber: Sejarah Malaysia, laman web Kerajaan Sabah (http://www.sabah.gov.my/pd.tnm/tnmdoc/lagenda.html), Teks Sejarah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menangah.

PROFIL
Nama: Ontoros anak lelaki Antanom
Tahun lahir: 1885
Tahun meninggal dunia: 1915
Asal: Rundum, Sabah.
Kaum: Murut Tagol.
Sumbangan: Pahlawan Murut yang memimpin penentangan terhadap British di Sabah.


petikan Berita Minggu

Read more...

Jejak: Pelombong emas Cina tentang penjajah asing

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Bangunan British musnah dibakar, lima penduduk Eropah termasuk seorang pegawai disangka Brooke dibunuh

PENENTANGAN terhadap penjajah di Sarawak tidak saja dipelopori penduduk tempatan dan Bumiputera tetapi sekumpulan pelombong emas Cina di Bau iaitu sebuah daerah yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Kuching.

Cerita penentangan itu bermula pada 18 Februari 1857 iaitu 24 hari selepas perayaan Tahun Baru Cina:

Liu Shanbang berdiri memandang kira-kira 600 pelombong Cina yang berjaya dikumpulnya di hadapan kuil lama ‘Tian Sze Lung Kiung’ di Mau San. Mereka semua lengkap bersenjata dan sedang menunggu arahan daripadanya.

Hari itu, mereka akan melakukan satu tindakan besar bagi membela kaum mereka daripada terus ditekan dan dianiaya bangsa asing pimpinan James Brooke. Sudah terlalu banyak tekanan dan penindasan dilakukan terhadap kaum mereka sebelum ini tetapi mereka tetap berdiam diri.

Mereka masih bersabar apabila cukai kepala dikenakan terhadap mereka walaupun hakikatnya mereka terlebih dulu mendiami dan melombong di kawasan itu, sebelum James Brooke tiba dan menjajah Sarawak pada 1841.

Ketika kerajaan bangsa asing itu membunuh dan mengusir keluar anggota masyarakat mereka yang enggan membayar cukai, mereka masih berdiam diri.


Akan tetapi selepas warisan cara hidup dan hak mereka mula diperkotak-katikkan, mereka sudah tidak dapat bersabar lagi. Larangan mengimport candu, arak selain mengeksport emas ke luar negara oleh bangsa asing itu dianggap sudah melampau. Mereka perlu bangkit membela hak mereka.

Selepas mendapati semua kelengkapan cukup dan pengikutnya bersiap sedia, Liu Shanbang yang juga pemimpin kongsi Cina di kalangan puak Hakka di Bau mula memberikan arahan.

Seterusnya ratusan angkatan pelombong bersenjata berarak ke Pangkalan Bau yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi terbabit. Di pangkalan itu, mereka menaiki 30 perahu besar dan mula menyusuri sungai menuju Tondong yang terletak dua jam perjalanan dari situ.

Matahari sudah terik di atas kepala apabila kumpulan pelombong terbabit merapati tebing sungai di Tondong. Seterusnya dari situ, mereka mula bergerak ke Kuching dengan penuh keazaman untuk menentang penjajah asing itu.

Terik sinaran suria semakin malap, tengah hari mula berganti petang tetapi kumpulan pelombong Cina itu terus bergerak dengan penuh waspada. Menjelang tengah malam, mereka tiba di Kuching.

Di satu kawasan rahsia di Kuching, Liu Shanbang kembali mengatur strategi - sebahagian daripada 600 pelombong itu akan bergerak di bawah pimpinannya menuju kediaman James Brooke manakala satu kumpulan lagi akan bergerak memasuki Kuching untuk menyerang dan menawan bandar itu.

Tidak lama selepas itu, bumi Kuching mula bergolak. Jeritan dan pekikan serangan bergema membelah langit malam. Pegawai dan tentera British yang tidak menyedari serangan berkenaan panik melihat amukkan pelombong Cina.

Bangunan British musnah dibakar manakala lima penduduk berbangsa Eropah termasuk seorang pegawai iaitu Harry Nicholetts - disangka pelombong terbabit sebagai James Brooke - dibunuh. Orang Eropah lain berlari ketakutan dan berlindung di sebuah gereja.

Satu pasukan lain pimpinan Liu Shanbang mula menyerbu ke kediaman James Brooke dengan ganas. Dalam ketakutan, lelaki asing itu berlari keluar dan terjun ke sungai berhampiran rumahnya. Dia menyembunyikan diri dengan berenang di bawah beberapa jong Cina yang terdapat di sungai berkenaan.

Di kediaman lelaki berbangsa asing itu, Liu Shanbang memimpin pasukannya mengamuk dan memusnahkan apa saja yang dijumpai mereka. Kemudian mereka mula menyalakan api dan membakar rumah kediaman pemimpin bangsa asing itu.

Kekacauan itu hanya reda apabila mentari pagi menjelma. Tarikh 19 Februari 1857, orang Cina dari Bau menawan bandar Kuching dan mula mengatur pentadbiran baru.

Pengurus dan pedagang Syarikat Borneo, Ludvig Helms dan Rupell diminta menjaga kepentingan penduduk Eropah yang terselamat di Kuching, Datu Bandar bertanggungjawab terhadap orang Melayu dan masyarakat Cina di bandar itu diuruskan kongsi Hakka.

Kemenangan menawan Kuching bagaimanapun menyedarkan Liu Shanbang mengenai satu perkara. Charles Brooke iaitu anak saudara James Brooke mungkin akan menyerang mereka tidak lama lagi bagi membalas dendam terhadap ‘kematian’ bapa saudaranya itu.

Menyedari hakikat itu, Liu Shanbang dan pengikutnya berundur kembali ke Bau. Bagaimanapun, perjalanan pulang kumpulan terbabit pada pada 21 Februari 1857, diserang.

Pelombong Cina itu kemudian mengumpul lebih ramai anggotanya di Bau dan membatalkan hasrat untuk berundur sebaliknya kembali ke Kuching.

James Brooke yang disangka sudah terbunuh oleh kumpulan pelombong terbabit kemudian muncul dan mula memimpin pasukan penentang untuk menawan kembali Kuching. Bagaimanapun sebaik sampai di bandar itu, mereka mendapati angkatan pelombong Cina yang lebih ramai sedang berkubu dan ‘menunggu mereka’ di situ.

Bangsa asing itu nekad menyerang tetapi mereka akhirnya kalah dan terpaksa melarikan diri.

James Brooke guna tipu helah tumpaskan kumpulan Liu Shanbang di Kuching

PADA Februari 1857, pasukan bantuan pimpinan Charles Brooke tiba dari Skrang. Mereka bergabung dengan pasukan James Brooke dan mula membedil bandar Kuching.

Serangan itu berjaya menenggelamkan beberapa perahu pelombong Cina terbabit menyebabkan ada antara mereka melarikan diri ke dalam hutan manakala sebahagian lain berundur dan membina kubu pertahanan di Lidah Tanah.

Bagaimanapun, kubu berkenaan gagal menahan serangan balas dan sekali lagi kumpulan pelombong terbabit berundur ke Jugan Siniawan dan membina kubu di situ pula.

Pasukan James Brooke terus memburu dan peperangan sengit berlaku di kubu berkenaan. Tentangan hebat diberikan pelombong Cina menyebabkan pasukan James Brooke gagal menembusi kubu berkenaan.

Akhirnya James Brooke memasang helah. Beliau mula menghentikan serangan dan menghantar seorang utusan bersama beberapa tong arak kepada Liu Shanbang kononnya sebagai tanda perdamaian.

Pelombong Cina yang menyangka tentera berbangsa asing itu sudah menyerah kalah kemudian merayakan kemenangan mereka pada sebelah malam. Ketika itulah pasukan James Brooke mula bertindak.

Kelekaan pelombong Cina terbabit menyebabkan pasukan James Brooke kembali melancarkan serangan terhadap kubu berkenaan sehingga menyebabkan Liu Shanbang bersama kira-kira 100 pengikutnya terbunuh.

Kekalahan pasukan Liu Shanbang menyebabkan angkatan perang James Brooke mara ke Bau dan membunuh semua penduduk Cina yang mereka temui. Sebahagian penduduk Cina yang tidak sempat melarikan diri ke Sambas, Indonesia, menyembunyikan diri di dalam gua berhampiran.

Bagaimanapun, sebaik mengetahui lokasi persembunyian berkenaan, pasukan James Brooke dengan kejamnya bertindak menyalakan api di hadapan pintu gua mengakibatkan ratusan penduduk Cina itu mati terbakar dan lemas.

Kekejaman pasukan James Brooke tidak terhenti di situ. Hampir 2,000 penduduk Cina di Mau San turut dibunuh dengan kejam bagi membalas dendam terhadap penentangan yang lancarkan pelombong terbabit.

sumber: Sejarah Malaysia, http://members.tripod.com/~PKPMSM1/sejarah20c.html

FAKTA: Penentangan pelombong Cina terhadap Brooke

# Sebelum penjajahan James Brooke terhadap Sarawak pada 1841, kumpulan kongsi Cina dari puak Hakka pimpinan Liu Shanbang terlebih dulu menetap dan menjalankan perlombongan emas di beberapa kawasan di Bau antaranya Mau San, Bidi, Tondong dan Paku.

# Sehingga penghujung 1850-an, semakin ramai pelombong Cina yang berhijrah secara besar-besaran dari Sambas, Indonesia ke Bau untuk menyertai perlombongan sehingga jumlah mereka dianggarkan kira-kira 4,000 orang.

# Kewujudan ramai penduduk Cina itu mengutuskan gentar di jiwa James Brooke lantaran ada antara mereka yang bertindak agresif termasuk melakukan jenayah dan mewujudkan beberapa kumpulan kongsi gelap yang dikhuatiri menggugat kerajaan pimpinannya.

# Kerajaan Brooke mengenakan ‘cukai kepala’ kepada setiap penduduk dan sesiapa yang enggan menuruti arahan berkenaan akan dibunuh atau dihalau keluar dari bumi Sarawak. Bagaimanapun, Kongsi Hakka tidak melaporkan jumlah sebenar anggota mereka bagi mengelak dikenakan cukai tinggi

# Pada 1850, seorang ejen kongsi gelap dari Singapura datang ke Sarawak untuk menubuhkan kongsi gelap ‘Hueh’ tetapi dia ditahan dan dihukum bunuh.

# Pertelingkahan yang agak rumit berlaku pada 1852 apabila Liu Shanbang enggan menyerahkan seorang anggota Hueh yang melakukan jenayah kepada Kerajaan Brooke. Akibatnya, Charles Brooke menghantar sepasukan tenteranya untuk menangkap penduduk Cina terbabit manakala pelombong Cina di Bau dihukum membina kubu Belidah berhampiran Siniawan.

# Konflik semakin tercetus apabila Syarikat Borneo ditubuhkan pada 1856 apabila pelombong Cina terbabit mula bimbang yang syarikat itu akan mengambil alih usaha mereka melombong emas di Bau.

# Pada Januari 1857, kongsi Hakka didenda 150 pound akibat menyeludup candu. Kerajaan Brooke kemudian mengenakan beberapa peraturan yang menjadi pencetus penentangan iaitu, pihak kongsi perlu membayar cukai mengikut bilangan penduduk sebenar; dilarang mengimport atau berdagang candu, arah dan lain-lain keperluan serta dilarang mengeksport atau berdagang emas atau lain-lain barang.


petikan Berita Minggu

Read more...

  © Blogger template Merdeka by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP