Ontoros berjuang tentang penindasan
Oleh Nasron Sira Rahim
KETIKA British menjajah Sabah pada penghujung abad ke-19, bangsa asing itu memperlakukan penduduk watan yang terdiri daripada kaum Murut seumpama ‘hamba abdi’. Penduduk ditangkap dan dijadikan buruh paksa bagi membina laluan pedalaman selain memasang kawat telegraf antara Tenom dan Rundum.
Lebih kejam, British mensyaratkan pasangan suami isteri kaum Murut tidak boleh tinggal bersama. Suami dan isteri dipaksa tinggal berasingan dan dipisahkan aliran sungai. Setiap kali suami atau isteri ingin berjumpa, mereka dipaksa membayar satu dolar kepada British.
Tanpa berperikemanusiaan, British menetapkan jika suami isteri kaum Murut memiliki dua anak, mereka akan mengambil seorang daripada anak itu untuk dijadikan buruh paksa.
Bangsa asing itu juga semakin biadap apabila tidak menghiraukan adat dan kepercayaan penduduk pribumi itu. Mereka menceroboh kawasan hutan bagi membina jalan walaupun bagi penduduk Murut, perbuatan itu dianggap mengganggu roh nenek moyang mereka.
Ironinya, British sesuka hati menceroboh kawasan hutan tetapi mereka melarang penduduk Murut membuka tanah baru bagi tujuan pertanian. Larangan itu menyebabkan penduduk kesusahan kerana mereka kekurangan beras sebagai sumber makanan.
British semakin menindas kaum Murut apabila mengenakan pelbagai cukai yang ‘pelik’ serta membebankan. Mereka seolah-olah menganggap semua benda yang berada di bumi Sabah itu milik mereka dan walaupun mereka sebenarnya sekadar pendatang asing.
Penduduk watan yang sudah lama mendiami kawasan itu pula sebaliknya dipaksa membayar kepada British untuk menduduki dan mengusahakan hutan bagi mendapat makanan.
British mengenakan cukai kepala dengan bayaran satu dolar setiap seorang, cukai tanaman pindah sebanyak 50 sen setiap 0.4 hektar, cukai pohon kelapa untuk dijadikan tuak (25 sen sepohon) dan cukai tangkapan ikan besar dan memelihara anjing (satu dolar seekor).
Hakikatnya, kemerdekaan kaum Murut diragut British malah maruah mereka juga dipermain-mainkan.
Penganiayaan dan kekejaman berterusan yang dilakukan British terhadap penduduk Murut menyebabkan seorang anak watan bangkit untuk menentang. Beliau tidak sanggup lagi melihat kaumnya dianiaya dan diperlakukan bagai hamba abdi oleh bangsa asing, lebih-lebih lagi di tanah air mereka sendiri.
Ontoros Antanom mula mengumpulkan kaumnya untuk bersama-sama berjuang membela bangsa dan tanah air mereka. Beliau ingin meneruskan perjuangan dua pahlawan Murut, Linggam dan Melayak yang dibunuh British selepas bangun menentang bangsa asing itu pada 1909.
Akhirnya, Ontoros Antanom berjaya mengumpulkan kira-kira 900 pahlawan Murut dari beberapa kawasan termasuk Tenom, Keningau dan Pensiangan bagi menggerakkan penentangan terhadap British.
Dua tahun pertama perancangan mereka iaitu dari 1913 hingga 1915, didahului dengan pembinaan kubu pertahanan. Kubu di Selangit dibina sebagai kubu induk atau ‘Silar Pinikit’ yang menempatkan tujuh rumah di bawah tanah. Beberapa kubu lain terletak di Menining, hulu sungai Telokoson, Kubu Liohon, Kubu Impal dan Kubu Salang.
Sebaik siap dan bersedia, mereka mula mensasarkan serangan di Pensiangan pada Februari 1915. Amukan pahlawan Murut menyebabkan pegawai dan askar British kecut perut dan ‘menggigil’ ketakutan. Bangunan milik pentadbiran British yang terdapat di kawasan itu dibakar dan dimusnahkan.
Kemenangan menerusi serangan pertama menyebabkan Ontoros Antanom mula mensasarkan serangan ke penempatan British yang lebih besar. Seterusnya kira-kira sebulan selepas itu iaitu pada Mac 1915, seramai 600 pahlawan Murut menyerang Rundum.
Walaupun British menggunakan senjata api dan pahlawan Murut hanya bersenjatakan sumpit, tombak dan pedang, bangsa asing itu nyata gagal menyekat serangan berkenaan menyebabkan segala kepentingan mereka di kawasan itu musnah.
Kejayaan itu menaikkan semangat kaum Murut untuk kembali mempertahankan hak dan maruah mereka serta mengusir penjajah itu dari bumi Sabah.
Kehebatan Ontoros Antanom dan gelombang kebangkitan pahlawan tempatan menyebabkan British gentar ketakutan. Mereka mula merancang untuk menyerang balas bagi menghapuskan pahlawan tempatan yang menentang mereka.
April 1915, British menghantar 400 tenteranya untuk menyerang dan memusnahkan kubu Ontoros Antanom di Selangit. Bagaimanapun, usaha British itu tidak mudah dilakukan. British terus menggempur tetapi kubu pahlawan itu tetap tidak dapat ditawan.
Pahlawan Murut menyerang balas habis-habisan walaupun 400 penduduk mereka termasuk wanita dan kanak-kanak sudah terkorban dibunuh askar berbangsa asing itu. Pertempuran itu berlarutan sehingga enam minggu.
Tertekan kerana masih belum dapat mengalahkan kumpulan pahlawan Murut itu, akhirnya British dikatakan memasang helah dan taktik kotor - mereka memperdaya pahlawan Murut dengan alasan mahu berdamai dengan kaum Murut dan gencatan senjata akan dilakukan.
British meminta proses perdamaian itu dilakukan di Rundum yang terletak kira-kira enam hari perjalanan dari Selangit. Ontoros Antanum dan pengikutnya yang menyangka British ikhlas mahu berdamai, menghentikan serangan manakala pasukan British berundur.
Ontoros Antanom dan pasukannya kemudian bergerak menuju Rundum untuk berunding mengenai perdamaian seperti dijanjikan British.
Ketika itulah British mula menunjukkan niat jahat dan pembohongan mereka. Selepas empat hari pahlawan Murut itu meneruskan perjalanan, ratusan askar British akhirnya mengepung dan menahan mereka.
Ontoros Antanom dan pengikutnya kemudian dibawa ke Rundum dan British cuba membunuh pahlawan itu dengan cara menembak dan membakarnya, tetapi usaha itu tidak berhasil lantaran ilmu kebal yang dimilikinya.
British kemudian mengancam untuk membunuh semua pengikutnya menyebabkan Ontoros Antanom akhirnya terpaksa memberitahu yang rahsia kekuatan dan kekebalannya terletak pada tali pengikat tangan dan kakinya.
Selepas mengetahui rahsia itu, British mula mencederakan pahlawan itu dan akhirnya kepala Ontoros Antanom dipancung dengan kejam.
British kemudian menangkap beberapa pengikut Ontoros Antanom dan lapan daripada pengikut kanan pahlawan itu dihukum buang daerah ke Kudat manakala tahanan lain dikerah menjadi buruh paksa untuk memasang kawat telegraf dari Kimanis ke Keningau.
Kematian pahlawan mereka, Ontoros Antanom bagaimanapun tidak menamatkan kebencian kaum Murut terhadap bangsa asing dan penjajah itu. Kaum Murut bagaimanapun tidak lagi menentang menggunakan senjata. Bagi menunjukkan protes terhadap British, mereka berpindah ke pedalaman Kalimantan, kawasan yang jauh daripada gangguan bangsa asing itu.
British perangkap pahlawan kaum Murut
SELURUH kehidupannya, Ontoros Antanom dibesarkan di kawasan yang dikelilingi hutan belantara yang penuh dengan flora dan fauna di bumi Sabah.
Hutan belantara tebal yang memenuhi daerah kelahirannya menjadi ‘taman permainan’ tokoh terbabit dan pahlawan itu dikatakan memiliki kuasa sakti yang menakjubkan termasuk mampu berkomunikasi dengan binatang liar dan menjinakkan haiwan itu selain kuat dan kebal.
Pahlawan Murut itu hanyalah seorang pemuda yang berusia kira-kira 30 tahun ketika beliau memimpin sepasukan pahlawan kaumnya menentang penindasan British pada 1915. Pada usia semuda itu, beliau sudah sanggup memikul tugas besar dan menggadaikan nyawanya demi mempertahankan bangsa dan tanah air tercinta.
Ontoros Antanom dilahirkan di kawasan Masinpunon di sungai Salarom pada 1885 dan beliau berasal daripada keturunan suku Murut Tagol iaitu golongan atasan mengikut adat istiadat kaum Murut.
Meniti dewasa, beliau membesar dalam zaman yang penuh persengketaan dan mencabar. Ketika itu, daerah perkampungannya dilanda persengketaan kaum dan diancam ‘pemburu kepala’ yang terdiri daripada kaum Dayak.
Berlatarbelakangkan zaman penuh pergolakan, pertelingkahan dan mencemaskan, Ontoros Antanom dibesarkan sebagai seorang ‘kalawon’ atau pahlawan yang gagah dan berani. Jiwanya sudah diasuh supaya sentiasa sedia berkorban demi melindungi keluarga dan kaumnya.
Tokoh itu dididik mengenal seluruh prinsip kehidupan di rimba dan dilatih supaya tangkas bermain senjata. Beliau juga dikatakan pernah berguru dengan Paduka Mat Salleh, seorang lagi pahlawan agung Sabah yang gugur menentang British di Tambunan.
Ontoros Antanom digambarkan berbadan tegap, berambut panjang, lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak di tangan dan senjata Pailang tersisip di pinggang. Beliau kelihatan gagah dan menggerunkan musuhnya.
Sikapnya tegas serta tenang ketika menghadapi bahaya. Beliau memiliki keazaman yang kuat sehinggakan apabila dia memutuskan sesuatu, kata itu akan dikotakan tanpa teragak-agak.
Ontoros Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang British tetapi kewibawaan sebagai pemimpin menyebabkan beliau mampu menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan.
Keazaman dan keberaniannya menyebabkan Ontoros Antanom sanggup mati pada usia muda. Tokoh itu akhirnya maut terbunuh dalam perjuangan sucinya demi membela tanah air dan maruah kaumnya daripada dipermain-mainkan British.
Ontoros Antanom, namanya menjadi legenda kepahlawanan kaum Murut khususnya dan masyarakat Sabah umumnya. Perjuangannya menyebabkan beliau disanjung sehingga kini serta diiktiraf sebagai seorang daripada tokoh pahlawan negara yang menentang penjajahan terhadap tanah air kita.
# sumber: Sejarah Malaysia, laman web Kerajaan Sabah (http://www.sabah.gov.my/pd.tnm/tnmdoc/lagenda.html), Teks Sejarah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menangah.
PROFIL
Nama: Ontoros anak lelaki Antanom
Tahun lahir: 1885
Tahun meninggal dunia: 1915
Asal: Rundum, Sabah.
Kaum: Murut Tagol.
Sumbangan: Pahlawan Murut yang memimpin penentangan terhadap British di Sabah.
petikan Berita Minggu