Jejak: Lebih 4,000 maut di tangan komunis

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

PKM diterajui Chin Peng jadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila



DALAM menghitung detik menuju kemerdekaan, keamanan negara diuji buat kali terakhirnya dengan kehadiran komunis ‘Bintang Tiga’ yang mencetuskan keganasan dan pembunuhan, di sebalik berlindung dalam belukar dan hutan belantara.

Ketika itu, Jepun sudah meletakkan senjata mereka dan menyerah kalah. Penjajahan Jepun di Tanah Melayu sudah tamat.

Akan tetapi tatkala tentera Kamikaze itu meninggalkan Tanah Melayu untuk pulang ke negara mereka, peperangan masih belum tamat di negara kita. Tembak-menembak masih berterusan tetapi bukan lagi menentang penjajah berbangsa asing tetapi pengganas tempatan yang digelar komunis.

Komunis mungkin boleh dianggap penjajah terakhir di negara kita tetapi berbeza dengan Portugis, Belanda, British, Siam mahupun Jepun, penjajahan komunis bukanlah didalangi tentera asing yang menceroboh untuk menakluk negara kita.

Sebaliknya, komunis menjajah negara kita dengan menanamkan ideologi cetusan Karl Marx di kalangan masyarakat tempatan terutama orang Cina di Tanah Melayu. Ia adalah ‘penjajahan minda’ yang menyebabkan penduduk setempat bangkit menentang pemerintah bagi mewujudkan sebuah negara berasaskan sistem komunisme.

Sejak dicetuskan Mark di Eropah pada pertengahan abad ke-19, ideologi komunis merebak pesat ke negara lain termasuk Russia dan China sebelum tiba di negara kita awal 1920-an. Fahaman itu terus disebarkan ejen komunis terutama apabila Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 1930.

Pelbagai propaganda dirancang bagi menarik minat masyarakat Cina kelas bawahan menyertai PKM. Usaha itu berkesan apabila kira-kira 10,000 ahli baru menyertai parti itu menjelang 1934.

Dengan keahlian yang ramai, mereka memulakan kempen penjajahan peringkat pertama dengan melakukan mogok, mensabotaj pangkalan tentera laut British, memulaukan pengangkutan, mengadakan rusuhan serta tunjuk perasaan.

Tercetusnya Perang Dunia Kedua dan penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula 8 Disember 1941 memberikan peluang kepada PKM untuk melebarkan pengaruh mereka di kalangan masyarakat Cina tempatan.

Mereka bekerjasama dengan British bagi menentang Jepun dan menubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA). Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan ketenteraan, kewangan, bekalan logistik dan perubatan dibekalkan British.

Taktik PKM berhasil apabila MPAJA dilihat sebagai antara wira yang membela Tanah Melayu ketika itu. Mereka berjaya meraih sokongan masyarakat Cina malah sepanjang tiga tahun, kekuatan tentera MPAJA dianggarkan seramai 7,000 anggota.

Bagaimanapun, niat sebenar PKM mula terbongkar apabila Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Tanah Melayu. Tempoh tiga minggu sebelum ketibaan British untuk kembali memerintah Tanah Melayu digunakan PKM menerusi MPAJA untuk cuba mengambil alih pemerintahan kerajaan.

Mereka keluar daripada hutan dan dengan menggunakan nama ‘Bintang Tiga’, mereka bertindak kejam membunuh penduduk tempatan terutama orang Melayu yang sewenang-wenangnya dituduh bersubahat menolong Jepun.

Akibatnya, orang Melayu mula bertindak-balas dan tercetusnya pergaduhan antara kaum di Muar dan Batu Pahat (Johor), Sungai Manik (Perak), Alor Gajah (Melaka), Batu Kikir (Negeri Sembilan), Raub (Pahang) dan Kota Bahru (Kelantan).

Kembalinya British pada September 1945 menyebabkan pentadbiran Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British (BMA) dan MPAJA yang ditubuhkan pada zaman perang Jepun, dibubarkan.

Pada Disember 1945, BMA mengarahkan semua anggota MPAJA menyerahkan kembali senjata kepada kerajaan. Seramai 6,800 anggota MPAJA mematuhi arahan itu dan diberi sagu hati RM350 serta satu beg beras. Gerila MPAJA yang pernah dilatih British diberi tambahan sagu hati RM30 sebulan selama tempoh tiga tahun.

Menyedari wasilah peperangan tidak akan berjaya, PKM menukar strategi untuk terus menyebarkan fahaman komunis menerusi penubuhan parti politik.

Pakatan dengan pemimpin yang berjuang atas semangat kebangsaan menyebabkan tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945. Parti itu diasaskan Ahmad Boestamam yang berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso berfahaman komunis.

Bagaimanapun, PKM mahu memastikan fahaman komunis mereka berjaya diserapkan ke dalam parti itu. Penubuhan PKMM adalah sebahagian pelan jangka panjang PKM untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu.

Justeru, PKM berusaha meletakkan ahlinya sebagai penggerak utama PKMM dan mereka berjaya pada peringkat awal menerusi pelantikan Mokhtaruddin Lasso sebagai Presiden, Arshad Ashaari (bendahari) manakala Rashid Maidin, Abdullah CD dan beberapa lagi ahli PKM sebagai ahli jawatankuasa.

Agenda awal PKM menerusi PKMM ketika itu lebih cenderung supaya Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Bagaimanapun, usaha PKM untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis menerusi pendekatan politik gagal apabila mereka diketepikan British dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

PKM menukar strategi lagi kepada pendekatan keganasan. Insiden 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak membawa kepada pengisytiharan darurat oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent.

Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diisytiharkan ke seluruh negara dan PKM serta sekutunya diharamkan pada 23 Julai 1948.

Pada peringkat awal darurat, kekuatan PKM yang diterajui Chin Peng dianggarkan berjumlah 12,500 orang. Kebanyakan komunis ini bergerak dalam hutan dan menjadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila.

Pada peringkat awal, sasaran PKM tertumpu kepada peladang British dan orang Eropah lain tetapi mereka kemudian mensasarkan pula kepada pekerja ladang dan orang awam di pinggir hutan.

Pada 1950, seramai 1,005 orang menjadi mangsa keganasan mereka menyebabkan komunis semakin dibenci masyarakat. PKM kemudian mensasarkan serangan kepada pasukan keselamatan menyebabkan 4,425 anggota keselamatan dibunuh antara 1948 hingga 1960.

Kejayaan terbesar komunis apabila mereka berjaya membunuh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 yang ketika itu dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Bagaimanapun, kejayaan PKM untuk menguasai Tanah Melayu menerusi taktik gerila tidak berpanjangan apabila British menambah anggota keselamatan dan menggempur komunis habis-habisan.

Hasilnya, jumlah anggota PKM menurun daripada 12,500 anggota ketika permulaan darurat kepada hanya 5,000 anggota saja pada 1957 iaitu setahun menjelang kemerdekaan negara.


FAKTA:
Langkah kerajaan menangani komunis

# Menambahkan kekuatan pasukan keselamatan.

# Menyekat bekalan makanan kepada komunis dalam hutan supaya mereka kebuluran dan keluar daripada hutan menerusi ‘Rancangan Briggs’. Selain makanan, sekatan turut membabitkan wang, maklumat dan bantuan daripada penduduk kepada komunis.

# Antara langkah Rancangan Briggs ialah memperkenalkan penempatan kampung baru, mengukuhkan pasukan perisikan, meletakkan kuasa tentera melebihi kuasa pentadbir awam dan membentuk pasukan kawalan keselamatan sehingga ke peringkat daerah.

# Pengisytiharan kawasan putih (bebas daripada ancaman komunis) dan kawasan hitam (sarang komunis)

# Pengisytiharan undang-undang darurat yang membabitkan pendaftaran penduduk; memperkenalkan peruntukan khas undang-undang antaranya menahan sesiapa yang disyaki tanpa had masa selain perintah berkurung; menguatkuasakan perintah buang negeri (kembali ke negara asal iaitu China atau India) dan penahanan kepada sesiapa yang disyaki berpihak kepada komunis; melancarkan perang psikologi bagi mendapatkan kerjasama rakyat memerangi komunis dan menawarkan pengampunan kepada komunis.

# Memperbaiki politik dan pentadbiran kerajaan bagi mewujudkan sebuah negara merdeka.

Perjanjian Haadyai penamat

AWAL Jun 1955, Kerajaan British di Tanah Melayu menerima sepucuk surat daripada wakil ‘Ibu Pejabat Pemerintah Tertinggi Tentera Pembebasan Malaya’ yang dihantar dari Haadyai, selatan Thailand.

Surat itu ditandatangani oleh seseorang yang dikenali sebagai Ng Heng tetapi kemudian didapati nama itu adalah samaran kepada Chin Peng, peneraju Parti Komunis Malaya (PKM).

Dalam surat itu, Chin Peng menyatakan PKM bersedia berunding dengan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi menamatkan darurat dan memulihkan keamanan di Tanah Melayu.

Surat berkenaan secara tidak langsung menggambarkan tanda positif mengenai usaha mencapai keamanan di Tanah Melayu.

Pada 9 September 1955, Tunku Abdul Rahman menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada Chin Peng dan semua pengganas komunis. Tawaran dibuat dengan menggugurkan 40 juta risalah pengumuman daripada kapal terbang ke hutan belantara yang menjadi lokasi persembunyian komunis.

Risalah itu menyatakan bahawa sesiapa di kalangan anggota komunis yang ingin menyerah diri tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan. Bekas komunis yang ingin menetap di tanah air dan tunduk setia kepada negara akan dibenarkan berbuat demikian manakala mereka yang ingin terus mengamalkan ideologi komunis dibenarkan kembali ke China.

Bersama risalah pengumuman itu, turut digugurkan daripada kapal terbang adalah 12 juta pas pengampunan yang dicetak dalam tiga bahasa iaitu Cina, Melayu dan Tamil.

Risalah itu berbunyi: “Pemegang pas ini ingin menerima peraturan pengampunan am dan diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan. Tunjuk arah telah diberi kepada semua anggota pasukan keselamatan, polis, tentera dan pegawai kerajaan supaya memberi layanan baik kepada pemegang pas ini. Mereka akan bertanggungjawab melaksanakan tunjuk arah ini.”

Tiga minggu selepas tawaran pengampunan itu dibuat, Chin Peng mengutuskan jawapan balas menerusi satu lagi surat yang meminta gencatan senjata diadakan dan disusuli rundingan menamatkan darurat.

Seterusnya Rundingan Baling yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955, menjadi titik pertemuan dan rundingan antara kedua-dua pihak. Pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diwakili Tunku Abdul Rahman, David Marshall dan Tan Cheng Lock manakala PKM diwakili Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Bagaimanapun, rundingan dua hari itu gagal mencapai kata putus apabila Chin Peng enggan menerima pengampunan tanpa syarat yang ditawarkan kerajaan sebaliknya meminta PKM dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Permintaan Chin Peng itu ditolak kerajaan.

Melewati masa, Tanah Melayu kemudian mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 iaitu ketika darurat masih lagi berkuat kuasa dan komunis masih berkeliaran dalam hutan negara. Chin Peng sekali lagi mengutus surat meminta rundingan diadakan tetapi kali ini, ia tidak lagi dilayan kerajaan.

Menjelang 1960, usaha kerajaan secara giat untuk membanteras komunis menyebabkan kegiatan PKM semakin lumpuh. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan selepas ancaman komunis semakin berkurangan dan saki baki pengganas itu berundur ke sempadan Tanah Melayu-Thailand.

Menyedari usaha mereka tidak lagi membuahkan sebarang hasil, pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) ditandatangani antara PKM dengan Kerajaan Malaysia.

Perjanjian bersejarah itu sekali gus menamatkan perjuangan bersenjata PKM selama 41 tahun untuk menjajah negara kita. Mereka akhirnya mengembalikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang negara - sumber www.wikipedia.com dan Sejarah Malaysia Edisi Kedua 2003.

FAKTA NOMBOR:
Rekod penentangan komunis pada zaman darurat

# 12 tahun - Tempoh darurat

# 6,398 komunis - Dibunuh

# 1,245 komunis - Ditahan

# 1,938 komunis - Menyerah diri.

petikan Berita Minggu 22 Julai 2007

0 komen:

  © Blogger template Merdeka by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP