Jejak: Raffles dalang sebenar bangsa Melayu dijajah

Oleh Nasron Sira Rahim

Ketidakstabilan politik, perebutan kuasa dan takhta, antara kunci utama British campur tangan

BERBANDING penjajahan Portugis dan Belanda, British adalah antara kuasa penjajah yang paling banyak meninggalkan kesan dan warisan budaya asing terhadap tanah air kita.

Malah, tatkala sejarah menunjukkan Portugis hanya menjajah Melaka manakala Belanda melebarkan pengaruhnya di Melaka, Perak dan beberapa beberapa negeri lain, British menjajah seluruh Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak.

Bermula dengan merampas Pulau Pinang dari Kedah pada 1786, penjajah asing itu kemudian mengasaskan zaman kolonial selama kira-kira 170 tahun sehingga meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu.

Sejarah panjang penjajahan penuh berliku itu bermula dengan kemunculan kapal laut British yang berlabuh di Tanah Melayu pada abad ke-18. Mereka pada mulanya mengangkat sauh dan belayar jauh meninggalkan bumi England untuk mencari peluang perdagangan dan meluaskan tanah jajahan.

Kempen menjajah tanah asing bagi meluaskan jajahan Kerajaan Inggeris itu sudah lama dirancang bangsa asing terbabit iaitu sejak 1600 apabila mereka menubuhkan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI).

Mereka kemudian mula belayar dan sentiasa mengintai peluang menjajah tanah asing. Melewati masa, SHTI berjaya bertapak di India dan bermula dari situ, mereka meneruskan pelayaran sehingga tiba di Kedah.

Kedudukan Pulau Pinang yang strategik untuk dijadikan pangkalan tentera, pusat pengumpulan barang dagangan serta pelabuhan persinggahan, menarik minat SHTI untuk menduduki pulau itu. Peluang itu tiba apabila Kedah menawarkan Pulau Pinang kepada SHTI dengan syarat British perlu memberi bantuan ketenteraan apabila Kedah diserang Siam.

Kapten SHTI, Francis Light dan Sultan Kedah, Sultan Abdullah kemudian menandatangani Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 tetapi SHTI tidak mengotakan janji mereka apabila Kedah diserang. Sebaliknya British terus menduduki Pulau Pinang secara haram.

Serangan demi serangan dilancarkan Kedah bagi membebaskan tanah watan mereka yang dirampas British, gagal dan akhirnya pendudukan penjajah itu di Pulau Pinang diiktiraf Siam menerusi Perjanjian Burney 1826.

Selepas menduduki Pulau Pinang, British ingin menduduki Singapura pula berikutan mereka beranggapan pulau itu lebih sesuai dijadikan pelabuhan. Kesempatan itu muncul apabila wakil SHTI, Stamford Raffles mendapati berlaku perebutan kuasa dalam Kerajaan Johor.

Raffles tiba di Singapura pada 12 Januari 1819 dan memaksa Temenggung Abdul Rahman menandatangani perjanjian membenarkan SHTI membina loji di pulau itu. Temenggung Abdul Rahman terpaksa menandatangani perjanjian itu kerana khuatir diserang angkatan perang Raffles.

Bagi menjayakan rancangannya menjajah Singapura, Raffles menjadi batu api dengan memperalat kekanda Sultan Johor, Tunku Hussein yang gagal ditabal sebagai Sultan Johor untuk kembali merampas kuasa.

Ketibaan Raffles di SingapuraDi bawah sokongan British, Tunku Hussein dilantik menjadi Sultan menyebabkan Johor ketika itu memiliki dua Sultan iaitu Sultan Hussein yang bersemayam di Singapura dan Sultan Abdul Rahman yang bersemayam di Lingga.

British kemudian semakin ‘besar kepala’ dan menggunakan pengaruh serta kuasa ketenteraan, mereka memaksa Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman menandatangani satu lagi perjanjian pada Februari 1819 yang antara syaratnya ialah Singapura diserahkan kepada SHTI buat selama-lamanya.

Pada 1824, Perjanjian London dimeterai antara British dengan Belanda di mana British memberi Bangkahulu di Sumatera kepada Belanda manakala Melaka yang dijajah Belanda ketika itu, diserahkan kepada British sebagai pertukaran.

Dua tahun kemudian, British menggabungkan Pulau Pinang, Singapura dan Melaka menjadi Negeri-negeri Selat (NNS) bagi menyeragamkan pentadbiran dan menjimatkan perbelanjaan.

Kekayaan hasil bumi di Tanah Melayu terutama bijih timah, emas, bijih besi dan arang batu mula menarik minat British untuk meneruskan penjajahan mereka bagi merampas sumber kekayaan itu daripada negeri Melayu.

Revolusi Perindustrian yang tercetus di England pada akhir abad ke-18 menyebabkan British mula merangka strategi menguasai Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi mendapatkan bijih timah dan hasil bumi lain.

Lalu pada 1874, ‘dasar campur tangan British di negeri Melayu’ diperkenalkan bagi membolehkan bangsa asing itu membabitkan diri dalam urusan pentadbiran negeri Melayu menerusi Sistem Residen dan Penasihat British.

Keadaan politik tidak stabil, perebutan kuasa dan takhta, pergaduhan kongsi gelap Cina selain kekecohan dan perang saudara di beberapa negeri Melayu menjadi kunci untuk British campur tangan seterusnya memaksa Sultan Melayu menerima naungan British.

Kehadiran residen dan penasihat British yang kebanyakannya bertindak mencampuri pemerintahan, menggubal pelbagai peraturan dan cukai yang menekan penduduk selain tidak menghormati adat resam penduduk, menyebabkan timbulnya kebangkitan menentang penjajah.

Beberapa pahlawan Melayu dan anak watan bangkit tanpa gentar menentang British. Antaranya Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Indut dan Sepuntum membunuh Residen British JWW Birch di Pasir Salak, Perak pada 1875.

Tentangan turut diberikan Yamtuan Antah di Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 1875; Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang (1894); Mat Salleh di Sabah (1897); Tok Janggut di Pasir Puteh, Kelantan (1915) dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu (1928).


> Tanah Melayu merdeka selepas 446 tahun

KEDUDUKAN British di Tanah Melayu mula tergugat apabila angkatan perang Jepun mula mendarat di Kota Bharu, Kelantan dan Alor Star, Kedah pada 8 Disember 1941. Sebaik mendarat, Jepun memulakan serangan bagi mengusir British dan menjajah Tanah Melayu.

Tentera Jepun menenggelamkan dua kapal perang British, Repulse dan Prince of Wales di perairan Kuantan dan serangan demi serangan menyebabkan British tidak dapat bertahan dan terpaksa berundur kembali ke India.

Selama kira-kira empat tahun, Tanah Melayu dijajah Jepun sehinggalah pihak itu menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Pengunduran Jepun menyebabkan British kembali ke Tanah Melayu pada September tahun sama.

Ketika tempoh penjajahan Jepun di Tanah Melayu, Kerajaan British di England merancang menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu di bawah satu kerajaan yang digelar ‘Malayan Union’.

Harold Mac Michael kemudian diutus mengetuai perwakilan British ke Tanah Melayu untuk memperoleh tandatangan Sultan semua negeri Melayu bagi membentuk perjanjian baru yang akan mewujudkan Malayan Union.

Mac Michael memaksakan Sultan menerima cadangan British dan Sultan yang enggan menandatangani perjanjian diugut akan diganti atas tuduhan bersubahat dengan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

British kemudian mendedahkan rancangan penubuhan Malayan Union pada Januari 1946. Bagaimanapun, cadangan penubuhan Malayan Union ditentang penduduk yang percaya bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan British kepada negeri jajahan British.

Tentangan tidak saja diberikan orang Melayu tetapi juga Cina, India dan segelintir pesara British yang pernah bertugas di Tanah Melayu. Tentangan hebat dan pemulauan terhadap sistem itu akhirnya menyebabkan Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946, dimansuhkan.

Pemansuhan Malayan Union menyebabkan British terpaksa melantik satu jawatankuasa bagi menggubal satu perlembagaan baru di Tanah Melayu dan pada 1 Februari 1948, ‘Persekutuan Tanah Melayu’ diisytihar.

Sejak itu, bermulalah usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu. Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengetuai ‘Rombongan Kemerdekaan’ ke London untuk berunding dengan Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.

Hasil rundingan itu, Perjanjian London 1956 ditandatangani dan British berjanji memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Seterusnya pada hari dijanjikan, bendera British diturun di Kuala Lumpur dan Tunku Abdul Rahman mengetuai orang ramai melaungkan, “Merdeka!” berulang kali. Detik bersejarah itu sekali gus menandakan yang selepas 446 tahun dijajah, hari itu, buat pertama kalinya tanah air kita bebas daripada penjajahan bangsa asing.


FAKTA: Penjajahan British

# 1786: British menjajah Pulau Pinang

# 1819: British menjajah Singapura

# 1824: Perjanjian London dimeterai menyebabkan Belanda menyerahkan Melaka kepada British.

# 1826: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura disatukan menjadi Negeri-negeri Selat.

# 1867: Negeri-Negeri Selat dipindahkan daripada penguasaan SHTI kepada penguasaan Pejabat Kolonial di London.

# 1873: Sir Andrew Clarke dihantar ke Singapura untuk menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat.

# 1874: SHTI dibubarkan. Dasar campur tangan British di negeri Melayu diperkenalkan bagi membolehkan British mencampuri urusan pentadbiran negeri Melayu menerusi Sistem Residen dan Penasihat British. Berlakunya kebangkitan menentang British oleh penduduk setempat.

# 1883: Eksploitasi British terhadap hasil bumi menyebabkan Tanah Melayu menjadi pengeluar terbesar bijih timah di dunia.

# 1885: Jalan kereta api dibina menghubungkan Port Weld (kini Kuala Sepetang) dengan Taiping bagi memudahkan pengeksportan timah.

# 1895: British menggabungkan Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi ‘Negeri-negeri Melayu Bersekutu’.

# 1900: Tanah Melayu mengeluarkan 55 peratus pengeluaran timah dunia.

# 1904: Johor menjadi negeri Melayu terakhir yang terpaksa tunduk kepada tekanan untuk menerima Penasihat British.

# 1909: Perjanjian Bangkok dimeterai bagi membolehkan British menguasai negeri Melayu di Utara dari Siam.

# 1941: Tentera Jepun mendarat di Kelantan dan Kedah dan menentang British bagi menjajah Tanah Melayu.

# 1945: Jepun berundur dari Tanah Melayu dan British kembali menjajah.

# 1946: British merancang menggabungkan negeri Melayu di bawah satu kerajaan baru digelar ‘Malayan Union’ tetapi ditentang penduduk.

# 1948: Persekutuan Tanah Melayu diisytihar bagi menggantikan Malayan Union. Komunis menyerang dan memberontak selama 14 hari. British mengisytiharkan darurat.

# 1956: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengetuai ‘Rombongan Kemerdekaan’ ke London untuk berunding dengan Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.

# 1957: Negara beroleh kemerdekaan

petikan Berita Minggu 1 Julai 2007

LINK TAMBAHAN
Singapore from den of pirates to port city

3 komen:

Tanpa Nama 9 Mei 2012 pada 10:17 PG  

wau! Ia sangat ringkas dari yg ku buat ...
BAGUS SANGAT !!!

Unknown 14 Ogos 2018 pada 11:49 PG  

Kenapa sultan2 melayu tak bersatu lawan siam,.. kalau2 kerajaan sultan2 melayu bergabung.. tak Perlu harapkn British.. Siam bukan kuat pun Klaus semua negeri bergabung.. sultan melayu berhubung tanah melayu Di selatan Thailand.. usahakan g ambil balik..fikiran jalannye.. jgn duduk goyang kaki.. Thai menjauhkn bukan tanah Tai..

Unknown 2 September 2021 pada 9:45 PTG  

Kedah perlis berpecah kerana siam dan Johor Pahang berpecah kerana inggeris

  © Blogger template Merdeka by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP