Jejak: Johor diperalat usir Portugis

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Belanda tidak serahkan Melaka kepada Kesultanan Johor sebaliknya menubuhkan kerajaan sendiri jadi pangkalan baru

MENELITI lembaran sejarah kemerdekaan Malaysia, pastinya tercatat pada suatu perenggan bahawa Belanda adalah antara bangsa asing yang pernah menjajah tanah air kita.

Lebih tepat adalah Belanda dipercayai penjajah kedua yang menjajah tanah air kita selepas Portugis malah bangsa asing itu saja menduduki dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu selama 131 tahun.

Lembaran sejarah itu bermula pada 1641 apabila angkatan perang Belanda yang dibantu tentera Kesultanan Johor, berjaya mengalahkan Portugis yang menguasai Melaka ketika itu.

Sebelum itu, Melaka berada di bawah pemerintahan Portugis selama 130 tahun selepas merampasnya dengan memerangi Kerajaan Melaka pimpinan Sultan Mahmud Shah pada 1511.

Dalam peperangan itu, Sultan Melaka dan pengikut terpaksa berundur ke Bentan (Riau) seterusnya mengasaskan Kesultanan Johor. Berkurun berlalu, kerajaan baru itu sentiasa menyerang Portugis di Melaka untuk merampas kembali kedaulatan negara dan hak mereka.

Serangan demi serangan yang berterusan bagaimanapun masih gagal mengalahkan Portugis di Melaka. Malah, serangan terbesar menggabungkan angkatan tentera Johor, Perak, Pahang dan Japara (Jawa) masih gagal meruntuhkan kubu Portugis walaupun pahlawan Melayu mengepung Melaka selama tiga bulan.

Sehinggalah kemunculan Belanda yang sedang mencari pengaruh di Tanah Melayu ketika itu. Mereka mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Johor dan kepada Sultan Johor, mereka menyatakan persetujuan untuk menghulurkan bantuan ketenteraan memerangi Portugis.

Dengan bantuan Belanda, Johor semakin yakin untuk meraih kemenangan ke atas Portugis seterusnya mendapatkan kembali tampuk kesultanan mereka yang ditakluk bangsa asing itu. Mereka beriltizam memerdekakan Melaka yang sudah 130 tahun dijajah Portugis.

Pada 14 Januari 1641, bersama kelengkapan senjata yang hebat, angkatan perang Belanda dan Johor bergerak menuju ke Melaka. Serangan besar-besaran akan dilakukan bagi memusnah dan mengusir penjajah itu dari bumi Melaka buat selama-lamanya.

Pertempuran hebat kemudian menggegarkan bumi Melaka. Laksamana Tun Abdul Jamil yang mengetuai angkatan perang Johor, menggempur Portugis dari jalan darat manakala Belanda menyerang Melaka dari laut.

Ledakan meriam, peluru senapang berterbangan mencari mangsa. Keris pahlawan Melayu mencantas dan menikam jasad penjajah dan akhirnya pertempuran sengit yang menumpahkan banyak darah itu berakhir.

Portugis yang ketakutan, lintang-pukang melarikan diri dan sorakan tentera Johor dan Belanda bergema membelah ruang udara Melaka. Selepas ratusan tahun, Melaka akhirnya bebas dan beroleh kemerdekaan dari Portugis pada hari itu.

Bagaimanapun, selepas berakhirnya peperangan menentang Portugis, Kerajaan Johor mula menyedari yang mereka ditipu. Hasrat untuk mendapatkan kembali hak dan negeri asal mereka yang terlalu lama dijajah, masih tidak kesampaian. Belanda bermain helah.

Selepas penawanan Melaka, Belanda tidak menyerahkan negeri itu kepada Johor sebaliknya bangsa asing itu menubuhkan kerajaan mereka dan bertapak di situ.

Bagi bangsa asing itu, Melaka amat penting kepada strategi Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) iaitu syarikat perdagangan antarabangsa yang ditubuhkan Kerajaan Belanda.

Kedudukan Melaka yang strategik sehingga pernah menjadi pelabuhan entrepot termasyhur menarik minat Belanda untuk menubuhkan pangkalan mereka di situ.

Mereka berharap dapat memanipulasikan kedudukan Melaka yang terletak di tengah laluan perdagangan utama Barat ke Timur selain kekayaan hasil bumi di negeri sekitar Melaka akan membawa keuntungan kepada mereka.

Belanda kemudian membuat perjanjian perdagangan dengan beberapa negeri Melayu seperti Kedah, Ujung Salang, Bangkeri dan Perak bagi mendapatkan timah. Perjanjian menyebabkan Belanda menubuhkan pangkalan, kilang dan aset mereka di negeri terbabit.

Bagaimanapun, kehadiran bangsa asing itu bersama niat untuk meragut hasil bumi watan sebanyak mungkin selain diketahui penduduk sebagai penjajah Melaka, jelas tidak disenangi orang Melayu.

Pada 1651, pangkalan di Perak dimusnahkan penduduk tempatan manakala tentera Belanda yang ditugaskan di lokasi itu, dibunuh. Pada 1660 pula, kilang yang dibina Belanda di Ujung Salang, terpaksa ditinggalkan. Belanda juga turut berperang dengan orang Melayu di Naning yang wilayahnya terletak bersebelahan Melaka.

Penjajahan Belanda menyebabkan aktiviti perdagangan di Melaka merosot. Pada era kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan entrepot, pedagang daripada pelbagai negara bebas berniaga barang masing-masing tetapi apabila Belanda menjajah, VOC ingin memonopoli semua barang yang dijual.

Selain itu, kemerosotan perdagangan di Melaka turut berpunca daripada keputusan Belanda yang ingin memajukan Betawi (Jakarta) lebih dari Melaka, berikutan Betawi adalah pangkalan utama pentadbiran VOC di Timur.

Kemerosotan populariti Melaka di kalangan pedagang asing menyebabkan Johor mengambil peluang membuka pelabuhan dan pusat tumpuan perdagangan di Riau iaitu satu daripada jajahan kerajaan itu.

Aktiviti perdagangan di Riau kemudian jauh mengatasi Melaka berikutan barang yang didagangkan di pelabuhan itu lebih pelbagai.

Kesibukan pelabuhan Riau dilihat sendiri Gabenor Belanda, Thomas Silcher yang melawat pusat pentadbiran Johor itu pada 1689. Tatkala melihat jumlah kapal yang berlabuh di pelabuhan itu, Silcher berkata: “Terlalu banyak.”

Melihat kemeriahan Riau, Gabenor Belanda itu mungkin menyedari yang pengaruh Belanda di Tanah Melayu juga semakin merosot dan Johor mula menjadi kerajaan terkemuka di Selat Melaka sekali gus mengulangi kegemilangan Kesultanan Melaka, suatu ketika dulu.

Belanda bertapak selama 154 tahun di Melaka

BELANDA mampu menarik nafas lega apabila kegemilangan Kerajaan Johor dan pelabuhan Riau tidak kekal lama.

Perebutan kuasa dan takhta selain pembabitan orang Bugis dalam pentadbiran Johor menyebabkan kegemilangan Kerajaan Johor menjadi suram pada awal abad ke-18. Bugis pada asalnya dibawa masuk ke dalam pentadbiran Kerajaan Johor oleh Raja Sulaiman.

Raja Sulaiman iaitu waris Sultan Johor terdahulu (Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV), membuat pakatan dengan ‘anak raja Bugis lima bersaudara’ untuk menggulingkan Raja Kechil, yang merampas takhta itu daripada ayahandanya.

Selepas Raja Kechil berjaya dikalahkan pada 1722, Raja Sulaiman ditabalkan sebagai Sultan Johor dan baginda melantik orang Bugis sebagai pembesar. Daeng Merewah dilantik Yamtuan Muda Riau manakala Daeng Menampok dikurniakan gelaran Raja Tua.

Seterusnya, pakatan Orang Melayu Johor dengan Bugis tidak kekal lama apabila berlaku perebutan kuasa dalam kerajaan antara dua bangsa itu.

Pertelingkahan dalaman yang dialami Kerajaan Johor menyebabkan Belanda ‘tersenyum gembira’ dan aktiviti perdagangan di Melaka kembali dalam keadaan baik sehinggalah sekitar 1750-an, suatu kuasa baru muncul di Tanah Melayu - British.

Kehadiran British menerusi Syarikat Hindia Timur British (SHTI) jelas memberi persaingan kepada Belanda. British menjalinkan hubungan perdagangan timah dengan Riau malah mereka menduduki pangkalan Belanda di Perak.

Bagi menyekat perluasan kuasa British, Belanda bertindak menyerang Riau yang dikuasai Bugis pada 29 Oktober 1784. Tentangan orang Bugis gagal mengatasi serangan Belanda yang akhirnya berjaya menjajah pelabuhan itu.

Kejatuhan Riau sekali gus menamatkan kemerdekaan Johor dan Belanda kemudian bertindak membina kubu mereka di Riau. Selain Riau, Belanda juga melebarkan penjajahan mereka ke negeri lain di Tanah Melayu. Johor, Selangor, Perak, Terengganu dan Pahang menjadi wilayah Belanda dan VOC mula mendominasi Selat Melaka.

Pada 1786, British berjaya menjajah Pulau Pinang dari Kedah dan menubuhkan pangkalan ketenteraan mereka di pulau itu.

Penguasaan Belanda di Tanah Melayu kembali merosot ketika berlakunya Perang Napoleon membabitkan beberapa negara Barat. Tekanan perang menyebabkan Belanda menyerahkan Melaka kepada SHTI pada Ogos 1795.

Bagaimanapun, selepas tamatnya Perang Napoleon itu, British memulangkan Melaka kembali kepada Belanda pada 1818, mengikut Perjanjian Vienna.

Seterusnya pada 1824, Belanda menandatangani ‘Perjanjian London’ dengan British. Antara kandungan perjanjian adalah British menyerahkan Bangkahulu di Sumatera kepada Belanda manakala Belanda menyerahkan Melaka kepada British.

Syarat lain adalah Belanda tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terbabit dalam hal ehwal negeri Melayu manakala Inggeris pula tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terbabit dalam hal ehwal mana-mana kerajaan di selatan Singapura dan Sumatera yang berada di bawah pengaruh Belanda.

Pada 9 April 1825, Belanda menyerahkan Melaka kepada British selepas 154 tahun menjajah tanah air kita. Penyerahan Melaka kepada British menyatakan satu hakikat - tanah air kita sekali lagi dijajah bangsa asing.

FAKTA: Penjajahan Belanda

1641: Belanda menewaskan Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka dengan bantuan Sultan Johor. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Couthinho, menyerah kalah kepada Kapten Minne Williemson Kaartokoe.

1645-1670: Perang antara Belanda dan Naning.

1650: Bangunan Stadthuys dibina sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya, dan dijadikan pusat pentadbiran Belanda di Melaka.

1710: Gereja St Peter, gereja Katolik tertua di Malaysia, dibina selepas Belanda memberi kebebasan kepada penganut Katolik untuk mengamalkan agama mereka.

1753: Gereja Christ, yang melambangkan seni reka bentuk Belanda, disiap sepenuhnya selepas dibina selama 12 tahun.

1756: Bugis di bawah pemerintahan Daeng Kemboja, menyerang Belanda di Melaka.

1784: Raja Haji memerangi Belanda di Melaka tetapi terbunuh ketika pertempuran di Teluk Ketapang.

1795: British menguasai Melaka buat sementara ketika Perang Napoleon.

1807: British di bawah William Farquar memusnahkan kubu Portugis dan mengusir pengaruh Portugis dari Melaka. Kemudian Belanda merancang menukarkan pedagang yang datang ke Melaka berpindah ke Pulau Pinang dan berhasrat melemahkan kekuatan British di Melaka.

1808: Kedatangan Stamford Raffles menyelamatkan Melaka daripada kemusnahan dengan persetujuan Lord Minto. Rancangan pemindahan penduduk dibatalkan.

1818: Melaka dipulangkan kepada Belanda di bawah Perjanjian Vienna selepas Perang Napoleon.

1819: Sultan Husin Shah menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris.

1824: Perjanjian London dibuat yang mana British memberi Bangkahulu di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka. Perikatan ini ditandatangani untuk mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda. British menguasai kawasan utara Selat Singapura sementara Belanda di bahagian Selatan (Kepulauan Indonesia).

petikan Berita Minggu 24 Jun 2007

0 komen:

  © Blogger template Merdeka by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP